BEKAS Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada hari Khamis selepas mahkamah mendapati beliau bersalah memimpin pemberontakan berkaitan pengisytiharan undang-undang tentera pada 3 Disember 2024.
Mahkamah memutuskan bahawa dekri Suk Yeol memenuhi definisi undang-undang bagi pemberontakan tetapi menolak untuk mengenakan hukuman mati, walaupun pendakwa khas sebelum ini memohon hukuman tersebut. Di bawah undang-undang jenayah Korea Selatan, kesalahan memimpin pemberontakan hanya membawa tiga hukuman iaitu: hukuman mati, penjara seumur hidup dengan kerja paksa atau penjara seumur hidup tanpa kerja paksa.
Keputusan itu diumumkan 443 hari selepas Suk Yeol mengisytiharkan undang-undang tentera.
Dalam penghakimannya, mahkamah mengiktiraf Suk Yeol sebagai “pemimpin pemberontakan,” dengan menyatakan bahawa pengisytiharan beliau melanggar kuasa Dewan Nasional, satu tindakan yang tergolong sebagai pemberontakan menurut undang-undang.
Mahkamah mendapati bahawa dekri undang-undang tentera, usaha menghalang Dewan Nasional, dan arahan berkaitan merupakan tindakan yang bertujuan merosakkan susunan perlembagaan.
Walaupun elemen jenayah telah diakui, mahkamah menyatakan ia mengambil kira pelbagai faktor dalam menentukan hukuman.
Yoon dibicarakan atas tuduhan memimpin pemberontakan, dengan persoalan utama sama ada pengisytiharan undang-undang tentera beliau merupakan cubaan untuk menumbangkan susunan perlembagaan.
Pendakwa dari pasukan khas mendakwa Suk Yeol berkomplot dengan pegawai kanan, termasuk bekas Menteri Pertahanan Kim Yong-hyun, untuk melaksanakan undang-undang tentera walaupun tiada syarat perlembagaan yang dipenuhi.
Mereka berhujah bahawa tentera dan polis dikerahkan untuk menghalang Dewan Nasional daripada mengundi untuk membatalkan dekri tersebut, dan pihak berkuasa berusaha menahan tokoh politik serta pegawai pilihan raya terkenal.
Dalam hujahan penutup, pendakwa menyifatkan kes itu sebagai pelanggaran serius terhadap tadbir urus perlembagaan dan menuntut hukuman paling berat. Mereka berpendapat bahawa penggunaan tentera dan usaha menutup Dewan Nasional memenuhi syarat undang-undang untuk dianggap sebagai pemberontakan.
Peguam Suk Yeol pula menegaskan bahawa pengisytiharan itu adalah pelaksanaan kuasa presiden yang sah, bertujuan memberi amaran kepada rakyat tentang apa yang beliau gambarkan sebagai krisis negara.
Dalam kenyataan terakhirnya, Suek Yeol berkata langkah itu adalah sebagai peringatan dan rayuan, bukan cubaan menumbangkan susunan perlembagaan.
Intipati kes ini adalah sama ada pengisytiharan undang-undang tentera mencapai tahap pemberontakan mengikut undang-undang jenayah, yang memerlukan bukti niat untuk mengganggu susunan perlembagaan serta penggunaan kekerasan yang mencukupi untuk mengancam keamanan awam.
Keputusan ini turut dibandingkan dengan preseden penting melibatkan bekas Presiden Chun Doo-hwan. Pada 1996, Chun dijatuhi hukuman mati pada perbicaraan pertama berhubung tuduhan pemberontakan berkaitan penindasan ganas terhadap protes demokrasi di Gwangju pada 1980. Hukuman beliau kemudian dikurangkan kepada penjara seumur hidup, dan beliau menerima pengampunan presiden pada 1997.
Penganalisis undang-undang menyifatkan kes ini sebagai ujian penting bagi menentukan sempadan antara kuasa kecemasan presiden dan had perlembagaan terhadap kuasa eksekutif dalam sistem demokrasi Korea Selatan.


