TEMPOH reman ke atas seorang lelaki disyaki membunuh isterinya dengan menggunakan lesung batu di Kota Tinggi, Jumaat lalu, disambung enam hari lagi.
Reman terhadap suspek etnik Rohingya itu disambung mulai esok hingga Rabu depan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, lapor Berita Harian.
Terdahulu pada Sabtu lalu, suspek berusia 35 tahun itu direman enam hari berakhir hari ini.
Suspek ditahan di sekitar rumah sewanya di Kampung Makam, Jumaat lalu, selepas disyaki membunuh isterinya kira-kira jam 3 pagi hari sama.
Mangsa berusia 34 tahun yang sedang hamil tujuh bulan, ditemui meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah oleh pemilik rumah kira-kira jam 7 pagi selepas dimaklumkan sendiri oleh suspek.
Polis tidak menolak kemungkinan cemburu menjadi punca pembunuhan itu.
Semalam, jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Dagang, Kampung Makam, bersama anak yang masih dalam kandungannya


