POLIS membongkar kegiatan penyeludupan dadah beroperasi sekitar perairan Selangor dan Selat Melaka, menggunakan bot pancung untuk membawa bahan terlarang ke negara jiran.
Hasil serbuan menerusi Op Tapis di sekitar kawasan Sekinchan pada 12 Februari lalu itu, tiga warga Indonesia termasuk seorang wanita ditahan, sementara sepucuk pistol bersama peluru dan dadah dianggar bernilai RM12.6 juta dirampas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan pertama dijalankan di kawasan perumahan Kampung Sungai Leman di Sekinchan, di mana tiga suspek berusia 26 hingga 53 tahun ditahan bersama tiga bungkusan plastik disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 11.36 gram.
Serbuan kedua pula, katanya dalam sebuah bot tidak bernombor di Jeti Ikan, Sekinchan dengan 152 bungkusan disyaki methamphemine serata 158.61 kilogram (kg), lima bungkusan plastik dadah disyaki ekstasi (10.89kg) dan 2,000 kartrij disyaki dadah jenis MDMA (5kg) dirampas.
“Pistol turut ditemui dalam bot berkenaan dan anggaran keseluruhan rampasan dadah adalah RM12.6 juta,” katanya pada sidang media hari ini, lapor Berita Harian.
Beliau berkata, sindiket dipercayai aktif sejak awal 2021 dengan suspek pertama berperanan sebagai koordinator laut dan darat, suspek kedua sebagai runner dan pemandu bot dan suspek ketiga isteri kepada koordinator.
Polis percaya bekalan dadah diperoleh dari Semenanjung sebelum dibawa ke negara jiran menerusi perairan antarabangsa.
“Saringan awal air kencing mendapati dua suspek lelaki positif methamphetamine dan mereka dipercayai sudah lama berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan sah dengan mendakwa bekerja sebagai nelayan, manakala suspek wanita baru tiba.
“Semua suspek direman 14 hari sehingga 26 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya.


