POLIS menahan empat individu termasuk tiga warga asing dan merampas pelbagai jenis dadah yang disorok dalam tong gas ‘helium’ menerusi dua operasi khas di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, serbuan pertama dilakukan Pasukan Kuala Lumpur Police Strike Force kira-kira jam 5.30 petang di sebuah kediaman di Jalan Tun Razak hasil maklumat risikan.

Beliau berkata, operasi itu membawa kepada penahanan dua lelaki, masing-masing warga China dan Hong Kong serta seorang wanita warga China berusia antara 26 hingga 36 tahun yang disyaki mengedar dadah di sekitar ibu kota.
“Pemeriksaan membawa kepada rampasan lima tong gas bertulis ‘helium’ disyaki mengandungi dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA), tiga peket plastik berisi serbuk disyaki dadah jenis MDMA dan empat katrij disyaki dadah jenis methamphetamine.
“Saringan air kencing ke atas tiga suspek mendapati mereka positif amphetamine, methamphetamine dan ketamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Fadil, siasatan mendapati sindiket berkenaan aktif mengedar dadah berbentuk tong gas disertakan bersama belon untuk tujuan pelanggan menghisap dadah jenis MDMA di kelab malam sekitar Kuala Lumpur sejak tiga bulan lalu.
Beliau berkata, susulan serbuan itu, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berumur 39 tahun di lokasi sama.
“Rampasan membabitkan 14 kotak mengandungi botol berisi gas disyaki dadah jenis MDMA dengan anggaran berat 58.24 kilogram, tujuh bungkusan belon dan sebuah kereta jenis Perodua.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM69,491,” katanya.
Fadil berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(2) akta sama, Seksyen 39A(1) serta Seksyen 15(1)(a) dan semua suspek direman hari ini bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, kejayaan operasi hasil risikan berterusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan kerjasama orang awam.
“Polis tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak mengedar, memiliki atau melindungi sebarang aktiviti berkaitan dadah.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti pengedaran dadah boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.


