KERAJAAN melaksanakan semula inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) buat kali kedua di bawah Belanjawan 2026, hasil penjimatan daripada pelaksanaan reformasi fiskal, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, bantuan berkenaan akan memberi manfaat kepada 22 juta warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas, tanpa mengira latar belakang pendapatan.
“Di bawah Belanjawan 2026, Kerajaan bersetuju SARA Untuk Semua dilaksanakan buat kali yang kedua. Ini hasil reformasi fiskal yang membawa kepada penjimatan dan dapat diagih semula untuk dinikmati oleh semua rakyat Malaysia,” katanya.
Anwar berkata, bermula hari ini hingga 31 Disember 2026, setiap individu layak akan menerima RM100 secara terus (one-off) melalui MyKad yang boleh digunakan untuk membeli barangan asas.
“Semua 22 juta warganegara Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas akan menerima RM100 melalui MyKad dan ia boleh dibelanjakan di lebih 10,000 kedai runcit serta pasar raya di seluruh negara.
“Bantuan ini diberikan secara individu dan bukannya isi rumah. Maknanya, jika satu isi rumah mempunyai empat orang dewasa, mereka akan menerima RM400,” katanya ketika berucap pada perjumpaan bersama warga Kementerian Perpaduan Negara (KPN) sempena Perhimpunan Bulanan KPN Februari 2026 di Dewan Damar Sari, Putrajaya, hari ini.
Anwar berharap bantuan tersebut dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh rakyat, khususnya dalam persiapan menyambut Tahun Baharu Cina dan menjelang bulan Ramadan.


