PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan lawatan kerja sehari ke Kuantan, Pahang esok dengan menghadiri dua himpunan besar melibatkan golongan belia dan penggiat seni silat.
Lawatan itu dimulakan dengan menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Umar Al-Khattab sebelum beramah mesra bersama penduduk setempat.
Selepas itu, Perdana Menteri dijadual mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Daerah Kuantan di Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan bagi membincangkan agenda pembangunan serta usaha memperkukuh ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Pada sebelah petang, beliau dijangka menghadiri Himpunan Anak Pahang MADANI di perkarangan UTC Kuantan yang bakal menghimpunkan lebih 7,000 belia dari seluruh negeri.
Program itu bertujuan memberi ruang kepada golongan muda membina kesedaran, memperkukuh pemikiran kritikal serta berinteraksi secara langsung serta menyumbang pendapat kepada pemimpin negara dalam mencorakkan masa depan Malaysia.
Pada sebelah malam pula, Anwar akan menyertai Himpunan Pendekar MADANI Pahang yang menghimpunkan tokoh silat, guru dan pesilat dari seluruh negeri.
Program berkenaan dilihat signifikan dalam usaha memartabatkan seni silat sebagai warisan budaya di samping memperkukuh nilai disiplin, perpaduan dan semangat persaudaraan.
Gabungan kedua-dua himpunan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkasa belia sebagai aset masa depan negara serta memelihara warisan budaya selaras dengan kerangka Malaysia MADANI.
Menurut Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi, pendekatan ini selaras dengan kerangka Malaysia MADANI yang komited memperkasa belia sebagai aset masa depan negara sambil memastikan khazanah seni warisan terus subur dan kekal relevan dalam arus modenisasi.


