Isu ternakan babi bukan soal kaum – Anwar

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan isu berkaitan ternakan babi tidak wajar dilihat dari sudut perkauman, sebaliknya perlu ditangani berasaskan faktor persekitaran, kebersihan dan kesihatan awam.

Beliau berkata, bantahan penduduk terhadap ternakan babi di kawasan kediaman bukan kerana sikap anti-kaum atau kepercayaan, sebaliknya kerana isu persekitaran yang menimbulkan kegelisahan masyarakat setempat.

“Ini bukan soal Cina atau Melayu. Kalau ada ternakan babi di sekeliling rumah, orang tak mahu kerana masalah persekitaran, kebersihan dan bau. Saya sendiri, kalau di sekitar rumah saya ada ternakan babi, bukan sebab saya anti orang Cina makan babi, tetapi sebab saya tak tahan baunya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perjumpaan bersama warga Kementerian Perpaduan Negara (KPN) sempena Perhimpunan Bulanan KPN Februari 2026 di Dewan Damar Sari, Putrajaya, hari ini.

Menurut Anwar, kerajaan tidak menentang ternakan babi secara dasar dan tidak melarang penganut agama lain daripada memakan babi, namun aktiviti tersebut tidak boleh dijalankan di kawasan yang menimbulkan kegelisahan kepada penduduk tempatan.

“Saya tidak setuju ternakan babi diteruskan di kawasan yang menimbulkan kontroversi. Kalau ada, cari tempat yang tidak menimbulkan masalah. Ini masalah real (sebenar). Bukan masalah yang direka,” tegasnya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, sebarang cadangan lokasi baharu perlu dibincangkan secara menyeluruh dan berlandaskan konsensus.

“Kalau di Kuala Lumpur tak ada tempat yang sesuai, maka tak ada. Kalau di Selangor sukar, jangan dipaksa. Kita dengar cadangan, bincang dulu dari segi kesihatan, alam sekitar dan bau,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan perlunya ketetapan jelas, peraturan tegas dan penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan isu ternakan babi tidak berlarutan dan mencetuskan konflik masyarakat.

“Saya setuju pandangan bahawa ternakan babi tidak harus diteruskan di kawasan yang menimbulkan kegelisahan penduduk tempatan.

“Kalau mahu diteruskan, carilah tempat yang jauh dan sesuai. Kita tidak mahu memaksa masyarakat menerima sesuatu yang menjejaskan persekitaran tempat tinggal mereka,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img