PN gesa kerajaan tubuh RCI siasat perjanjian mega RM1.1 bilion

KERAJAAN digesa rmenubuhkan segera sebuah Jawatankuasa Khas Siasatan bertaraf Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat perjanjian mega dianggarkan bernilai RM1.1 bilion yang kini dalam siasatan.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, jawatankuasa itu perlu diketuai oleh seorang bekas hakim mahkamah atasan bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus dan bebas.

“Langkah tegas dan segera amat perlu diambil jika kerajaan benar-benar serius dan komited dalam usaha memerangi rasuah dan salah laku hingga ke akar umbi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bersatu berkata, kerajaan tidak boleh berdiam diri atau berlindung di sebalik prosedur dan retorik semata-mata kerana rakyat berhak mengetahui kebenaran serta fakta sebenar berhubung perkara itu.

‘’Ahli-ahli Parlimen PN terkejut dan bimbang susulan laporan media berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap perjanjian mega tersebut yang dibuat antara kerajaan pusat dengan sebuah syarikat asing.

“Lebih serius, berdasarkan maklumat daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), perjanjian ini juga melibatkan seorang bekas menteri kanan dalam pentadbiran semasa. Angka RM1.1 bilion bukan kecil, selain merupakan dana awam dan melibatkan kepercayaan orang ramai terhadap integriti sistem pentadbiran kerajaan,” tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu menegaskan, kegagalan bertindak secara tegas dan telus hanya akan menguatkan persepsi bahawa terdapat usaha untuk menyembunyikan atau melindungi sesuatu atau seseorang.

“PN akan terus memantau perkara ini secara dekat bagi memastikan prinsip-prinsip ketelusan, akauntibiliti dan integriti ditegakkan tanpa kompromi,” katanya.

Pada 16 Februari lalu, SPRM mengesahkan membuka satu kertas siasatan berhubung perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat asing yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion.

Menurut sumber, antara tindakan susulan yang sedang diambil ialah memanggil beberapa saksi, termasuk Ketua Setiausaha kementerian terlibat, bagi mendapatkan penjelasan berhubung pelaksanaan perjanjian berkenaan.

Difahamkan, siasatan itu dijalankan susulan aduan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian tersebut dimeterai secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga berpotensi memberi kesan kepada kepentingan kerajaan.

“SPRM juga telah memperoleh beberapa dokumen berkaitan perjanjian ini daripada Kementerian Ekonomi pada 13 Februari 2026,” kata sumber itu.

Berdasarkan maklumat diperoleh, cadangan perjanjian tersebut didakwa tidak mendapat persetujuan daripada Kementerian Kewangan (MOF) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img