Kenyataan fitnah : Pendakwah Rasyid Alwi diarah bayar RM830,000 kepada Khairy

MAHKAMAH Rayuan hari ini mengurangkan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar oleh pendakwah Rasyiq Alwi kepada bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin kepada RM830,000 berhubung kenyataan berunsur fitnah mengenai status vaksinasi Khairy.

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rasyiq membayar RM2 juta sebagai ganti rugi am, selain RM250,000 masing-masing bagi ganti rugi teruk (aggravated) dan teladan (exemplary).

Dalam keputusan sebulat suara, panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Zaini Mazlan mengurangkan ganti rugi am kepada RM500,000 dan ganti rugi teladan kepada RM80,000, namun mengekalkan ganti rugi teruk sebanyak RM250,000, lapor FMT.

Rasyid Alwi

Panel itu turut mengekalkan keputusan hakim bicara supaya Rasyiq membayar faedah sebanyak 5% setahun ke atas jumlah penghakiman bermula dari tarikh keputusan sehingga penyelesaian penuh dibuat. Khairy, yang diwakili peguam Abdul Rashid Ismail, turut dianugerahkan kos sebanyak RM50,000.

Zaini yang bersidang bersama Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin dan Hakim Ahmad Shahrir Salleh bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa kenyataan fitnah itu bersifat serius.

Menurutnya, kenyataan Rasyiq membawa maksud Khairy tidak jujur, menipu dan memalsukan rekod vaksinasi.

“Kami juga mengiktiraf bahawa terdapat lapan penerbitan berasingan dan setiap satu boleh diambil tindakan secara sendiri. Kami berpendapat responden (Khairy) berhak menerima ganti rugi bagi setiap penerbitan,” katanya dalam alasan penghakiman ringkas.

Bagaimanapun, Zaini menegaskan beberapa faktor perlu diteliti secara berhati-hati dalam menentukan kuantum ganti rugi.

Katanya, ganti rugi am dalam kes fitnah bertujuan memberi pampasan, bukan untuk memperkayakan.

“Pernah ada tempoh mahkamah kita menganugerahkan ganti rugi berjuta-juta ringgit dalam kes fitnah yang berjaya. Era itu telah berakhir dan kami tidak mahu ia berulang,” katanya.

Beliau berkata jumlah RM2 juta bagi ganti rugi am yang diputuskan Mahkamah Tinggi tidak selaras dengan trend kehakiman semasa.

Mengenai ganti rugi teruk, Zaini berkata Khairy adalah Menteri Kesihatan ketika dunia berdepan pandemik Covid-19 pada 2021.

“Fitnah oleh perayu bukan sahaja menjejaskan reputasi responden, malah berpotensi memberi kesan kepada orang awam, kerana hantaran berunsur fitnah itu mungkin menghalang sebahagian pihak daripada menerima vaksin,” katanya.

Mahkamah juga mengambil kira sikap Rasyiq, yang diwakili Lejerod Limpuong, sebagai tidak insaf apabila permohonan maafnya didapati bersifat sinis.

“Atas dasar itu, kami bersetuju dan mengekalkan ganti rugi teruk sebanyak RM250,000 yang dianugerahkan kepada Khairy,” katanya.

Zaini menjelaskan bahawa ganti rugi teladan bersifat menghukum dan hanya diberikan dalam kes jarang dan luar biasa.

Ia wajar diberikan hanya apabila bukti menunjukkan salah laku tersebut dilakukan untuk memperoleh manfaat material, kelebihan kewangan atau keuntungan, katanya.

Mahkamah turut mengambil maklum secara kehakiman bahawa landskap fitnah telah berubah secara mendasar dengan kebangkitan media sosial.

“Platform seperti Instagram dan Facebook bukan lagi sekadar ruang ekspresi santai, sebaliknya alat yang berkuasa untuk penyebaran pantas dan meluas. Orang ramai semakin menggunakan platform ini untuk membina jenama peribadi, menarik pengikut dan meningkatkan pengaruh dalam talian,” katanya.

Menurut Zaini, Rasyiq yang menampilkan dirinya sebagai seorang pendakwah agama tertakluk kepada standard tanggungjawab yang lebih tinggi apabila membuat kenyataan umum.

“Disebabkan tahap kepercayaan yang tinggi itu, perayu memikul tanggungjawab yang lebih besar untuk mengesahkan ketepatan kenyataannya sebelum menyebarkannya,” katanya.

Dengan memilih untuk menerbitkan dakwaan tidak disahkan, palsu dan berunsur fitnah terhadap Khairy, Rasyiq telah menyalahgunakan kedudukan autoriti moralnya serta mengeksploitasi kepercayaan dan penghormatan yang diberikan masyarakat kepada tokoh agama, tambahnya.

Khairy memfailkan saman terhadap Rasyiq pada 2022 selepas pendakwah itu mendakwa beliau “berbohong” mengenai status vaksinasi. Prosiding di Mahkamah Tinggi diteruskan tanpa kehadiran Rasyiq walaupun peguam Khairy telah memaklumkan tarikh perbicaraan kepadanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img