BEKAS Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad meninggal dunia pada usia 84 tahun, hari ini.
Allahyarham meninggal dunia akibat sakit tua di samping isterinya Toh Puan Hamidah Choong Abdullah dan anak-anak.
Abdul Hamid dikenali atas sumbangan beliau yang besar kepada sistem kehakiman negara dan peranan beliau dalam memperkukuh integriti serta tadbir urus badan kehakiman Malaysia sepanjang kerjayanya.
Allahyarham dilahirkan pada 18 April 1942 di Kampung Permatang Tinggi Bakar Bata, Kepala Batas, Pulau Pinang.
Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Sungai Keladi dan menengah di St. Xavier’s Institution sebelum memperoleh ijazah perundangan dari Universiti Singapura pada 1969.
Beliau memulakan kerjaya dalam perkhidmatan kehakiman sebagai majistret di Kangar, Perlis dan Tapah, Perak, serta menyandang pelbagai jawatan penting termasuk Penolong Pengarah Biro Bantuan Guaman, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi dan Ketua Pendakwaan di Jabatan Peguam Negara.
Abdul Hamid dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 Mei 1990, Hakim Mahkamah Tinggi pada 1992, Hakim Mahkamah Rayuan pada 1 September 2000 dan Hakim Mahkamah Persekutuan pada 1 Ogos 2003.
Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada usia 65 tahun.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham.
Beliau tiba di Musolla Taman Selatan, Presint 20, pada jam 4.50 petang untuk menyertai solat jenazah bersama ahli keluarga Allahyarham serta tetamu yang hadir.
Jenazah Allahyarham tiba pada jam 4 petang dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM).
Antara yang hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan; Ketua Hakim Negara ke-14, Tun Md Raus Sharif; Pro-Canselor Universiti Malaya, Tan Sri Mohd Annuar Zaini; bekas Menteri MITI, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin.


