POLIS menahan seorang lelaki semalam, selepas mencederakan seorang penduduk menggunakan pisau ketika mangsa cuba menenangkan lelaki terbabit yang agresif berhubung isu parkir di Flat Seri Melaka, Cheras pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, polis menerima laporan kejadian itu kelmarin daripada mangsa yang mendakwa ditetak dengan senjata dan mengenai tangan kirinya.
“Siasatan awal polis mendapati suspek dipercayai bertindak agresif dan menakut-nakutkan penduduk flat dengan menggunakan senjata jenis pisau.
“Mangsa cuba menenangkan keadaan, namun dia kemudian ditetak oleh suspek hingga menyebabkan luka pada tangan kirinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Rosdi berkata, mangsa menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Ampang.
“Kecederaan mangsa dianggarkan sepanjang tiga sentimeter dan tiada individu lain yang cedera dalam kejadian itu.
“Susulan kejadian itu polis menahan suspek yang berusia lewat 20-an semalam,” katanya.
Semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan air kencing negatif dadah.
Beliau berkata, suspek direman empat hari bermula semalam hingga Selasa ini bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal menunjukkan kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati berkaitan isu parkir.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata,” katanya.


