MAJLIS Keselamatan Negara Tertinggi Iran mendakwa negara itu menjadi sasaran operasi udara pada awal pagi ini yang dikatakan dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS) dengan kerjasama rejim Zionis Israel, menyasarkan beberapa pusat di dalam negara.
Dalam Pengumuman Rasmi No. 1 hari ini yang disebarkan ke seluruh negara itu, pihak berkuasa Iran menyifatkan serangan berkenaan sebagai tindakan “kejam dan jahat” yang berlaku ketika rundingan masih berlangsung.
Menurut kenyataan itu, pihak musuh dipercayai cuba memaksa Iran tunduk kepada tuntutan mereka melalui tindakan ketenteraan.
Majlis berkenaan memaklumkan bahawa angkatan tentera Iran telah memulakan tindak balas ketenteraan yang menghancurkan terhadap apa yang disifatkan sebagai pencerobohan tersebut, sambil menegaskan maklumat lanjut akan disalurkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.
Pihak berkuasa turut memberi amaran bahawa operasi ketenteraan oleh Amerika Syarikat dan Israel dijangka berterusan di Tehran serta beberapa bandar lain.
”Orang ramai dinasihatkan supaya bertenang, menjauhi kawasan berisiko, dan berpindah ke lokasi yang lebih selamat bagi mengelakkan bahaya,’’ kata kenyataan berkenaan.
Kerajaan Republik Islam Iran menegaskan semua keperluan asas masyarakat telah disediakan lebih awal dan rakyat tidak perlu bimbang mengenai bekalan barangan keperluan.
Berikutan serangan itu, Iran turut mengumumkan langkah pentadbiran sementara yang diumumkan iaitu menutup sekolah dan universiti, bank-bank kekal beroperasi dan menyediakan perkhidmatan manakala habatan kerajaan beroperasi pada 50 peratus kapasiti.


