BEBERAPA kapal menerima transmisi mesej daripada Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) bahawa “tiada kapal dibenarkan melintasi Selat Hormuz”.
Mesej tersebut diterima ketika Iran melancarkan gelombang serangan balas susulan tindakan ketenteraan oleh Amerika Syarikat dan Israel ke atas negara Republik Islam tersebut.
Selat Hormuz merupakan antara laluan perdagangan minyak paling strategik di dunia. Ia menghubungkan negara-negara pengeluar minyak utama di Teluk Parsi seperti Arab Saudi, Iran, Iraq, dan Uni Emiriah Arab Bersatu dengan Teluk Oman serta Laut Arab.
Dianggarkan lebih 21 juta tong minyak melintasi Selat Hormuz setiap hari, bersamaan kira-kira 37 peratus daripada keseluruhan perdagangan minyak global.
Timbalan Ketua Politik Tentera Laut IRGC, Mohammad Akbarzadeh, turut menegaskan bahawa Iran mempunyai keupayaan untuk menjejak kapal-kapal yang melalui Selat Hormuz menggunakan teknologi moden.

Menurut beliau, sistem pemantauan Iran membolehkan pergerakan kapal dikesan secara menyeluruh di laluan strategik tersebut.
“Jika perang dikenakan ke atas kami, responsnya akan lebih tegas dan lebih menentukan daripada sebelumnya,” kata Akbarzadeh.
Menurut laporan Fars News Agency pada Selasa beliau berkata Iran menerima laporan perisikan secara langsung “dari udara, permukaan laut dan bawah selat,” sambil menegaskan bahawa keselamatan Selat Hormuz “bergantung kepada keputusan yang diambil oleh Tehran”.


