Hamzah minta kerajaan pinda peruntukan RUU pemisahan kuasa

KERAJAAN digesa meminda beberapa peruntukan dalam Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pemisahan kuasa antara Pendakwa Raya dan Peguam Negara, serta pengenalan had tempoh jawatan Perdana Menteri.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Mesyuarat Khas Ahli Parlimen Pembangkang pada Khamis lalu memutuskan pindaan itu perlu dibuat sebelum kedua-dua RUU berkenaan dibentangkan dan diputuskan oleh Dewan Rakyat.

Menurutnya, bagi RUU Perlembagaan berkaitan pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara, pembangkang berpendirian ia mestilah menjadikan kedua-dua institusi itu benar-benar bebas daripada sebarang campur tangan dalam melaksanakan bidang kuasanya dan tertakluk kepada mekanisme akauntabiliti yang jelas dan telus.

Sehubungan itu, kerajaan hendaklah memperkenalkan mekanisme yang bebas dan berwibawa dalam urusan pelantikan dan pemberhentian Pendakwa Raya.

Ia tambah beliau, sama ada melalui penubuhan satu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang bersifat dwipartisan, atau melalui suatu kaedah lain yang setara daripada segi kebebasan, ketelusan dan keabsahannya.

Jelasnya, Jawatankuasa Khas Parlimen itu hendaklah mempunyai kedudukan dan autoriti setaraf dengan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Menurutnya, ia termasuk bidang kuasa untuk memanggil dan menghadapkan Pendakwa Raya atau Peguam Negara dalam prosiding tertentu yang menyentuh isu dasar pendakwaan serta pematuhan prinsip kedaulatan undang-undang tanpa menjejaskan prosiding kes perundangan yang sedang berjalan.

“Selain itu, pembangkang menggesa agar pindaan Perlembagaan ini turut mempertimbangkan peruntukan yang membolehkan semakan kehakiman (judicial review) terhadap keputusan berkaitan kuasa pendakwaan oleh Pendakwa Raya serta pelaksanaan fungsi Peguam Negara, selaras dengan prinsip semak dan imbang dalam sistem demokrasi berparlimen,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Hamzah, bagi pindaan Perlembagaan berkaitan had tempoh perkhidmatan Perdana Menteri pula, kerajaan hendaklah memastikan hak-hak yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan tidak terjejas secara langsung atau tidak langsung.

Sebarang pindaan mestilah tidak membataskan budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk melantik seorang Perdana Menteri di bawah Perkara 40(2)(a), dibaca bersama Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Ujar beliau, RUU yang membataskan budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri hanya dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang tertentu hendaklah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja selaras dengan Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu.

Selain itu, bagi memastikan pemusatan kuasa Perdana Menteri dapat diimbangi sepanjang tempoh perkhidmatan tersebut, pembangkang kekal berpendirian bahawa Perdana Menteri tidak boleh memegang jawatan Menteri Kewangan dalam satu masa yang sama.

“Secara dasarnya, pembangkang berpendirian bahawa langkah-langkah pembetulan institusi bagi memperkukuh amalan semak dan imbang tidak boleh dilaksanakan secara separuh jalan atau bersifat kosmetik,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img