SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar kegiatan rasuah melibatkan sindiket tonto dan anggota penguat kuasa dengan menahan 18 orang serta membeku akaun bank dan sitaan bernilai RM7.69 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Bakir berkata, agensi itu turut mengesan transaksi rasuah dianggarkan berjumlah RM12 juta dengan menggunakan akaun keldai sejak lima tahun lalu.
Pada sidang media di Ibupejabat SPRM di Putrajaya hari ini, beliau berkata, transaksi yang bermula pada 2021 itu bertujuan memastikan kenderaan perdagangan tidak dikenakan tindakan undang-undang oleh penguat kuasa yang bertugas.
“SPRM turut membekukan 59 akaun individu dan syarikat berjumlah RM4.7 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan sindiket ini.
“Kita telah menahan empat pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan empat anggota polis trafik serta dua pemilik syarikat dipercayai tonto dan seorang keldai akaun,” katanya
Azam berkata, keseluruhan individu yang ditahan dalam kes itu adalah seramai 18 orang.
“Kita telah membuka setiap satu kertas siasatan berkaitan suspek tersebut,” katanya.
Mengenai pembekuan akaun dan sitaan RM7.69 juta tersebut, Azam berkata ia melibatkan wang tunai pelbagai mata wang, 25 kenderaan mewah dianggarkan bernilai RM2.5 juta, barang kemas kira-kira RM40,000, 27 telefon bimbit dan 41 unit walkie-talkie yang digunakan untuk aktiviti berkenaan.
Azam juga mengesahkan, selain JPJ, SPRM akan bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam Ops Middleman.
“Saya sudah menghubungi Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar untuk bertemu dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata, siasatan terhadap tonto dijalankan di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009, manakala pegawai penguat kuasa disiasat di bawah Seksyen 17(a) akta sama kerana dipercayai menerima suapan.
“Modus operandi sindiket ialah menawarkan rasuah kepada penguat kuasa bagi melindungi kegiatan lori yang melakukan pelbagai kesalahan jalan raya termasuk membawa muatan berlebihan,” katanya.
Azam turut menjelaskan, SPRM akan meneruskan siasatan secara menyeluruh termasuk meneliti akaun digital dan kemungkinan penglibatan pihak lain, selain tidak menolak operasi sama diperluas ke negeri lain.
“Kita mahu putuskan rantaian ini. Selagi ada orang tengah yang memudahkan bayaran rasuah, jenayah ini akan berterusan dan akhirnya menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.


