SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah merakam keterangan seorang bekas menteri Kerajaan MADANI berhubung siasatan perjanjian mega kementerian berkenaan yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan 12 individu sudah dipanggil memberi keterangan berhubung isu tersebut.
“Setakat ini SPRM sudah memanggil 12 individu daripada kementerian terbabit, antaranya Ketua Setiausaha kementerian dan pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA),” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Ditanya adakah Datuk Seri Rafizi Ramli juga akan dipanggil SPRM, Azam bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.
Pada sidang media berkenaan, Azam turut mengesahkan bekas pembantu kepada Rafizi yang dikehendaki SPRM bukan saksi bagi siasatan perjanjian mega Kementerian Ekonomi.
Sebaliknya, menurut Azam, individu itu adalah orang yang dikehendaki dalam kes terbabit.
“Saya tidak katakan dia seorang saksi dan dia perlu segera pulang ke Malaysia untuk dirakam percakapan.
“Setakat ini, kita masih belum menerima sebarang maklum balas daripadanya dan disebabkan itu kita mengeluarkan pernyataan media kerana beliau perlu pulang dari United Kingdom (UK),” katanya.
SPRM hari ini mengeluarkan kenyataan mengesan penganalisis politik, Chai Jin Shern yang juga bekas pembantu kepada Rafizi, bagi membantu siasatan.
SPRM memaklumkan Jin Shern sedang dikesan bagi membantu siasatan, namun tidak didedahkan butiran mengenai kes yang sedang disiasat.
Justeru, SPRM meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan lelaki itu supaya menghubungi pegawai penyiasat, Mohd Hafidz Abd Halim di talian 017-504 6503.


