SPRM teliti laporan dakwaan seleweng pelaburan RM1.11 bilion babitkan bekas menteri

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menerima laporan berkaitan dakwaan isu penyelewengan pelaburan berjumlah kira-kira RM1.11 bilion melibatkan bekas menteri kanan di sebuah kementerian.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, SPRM akan meneliti keseluruhan laporan yang diterima.

Beliau berkata, penelitian laporan ini bagi menentukan sama ada wujud sebarang elemen rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa di bawah Akta SPRM 2009.

“Tindakan susulan termasuk meneliti dokumen dan bukti yang dikemukakan sebelum siasatan lanjut dijalankan seiring dengan komitmen terhadap integriti dan ketelusan dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Laporan terbabit diterima daripada gabungan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kira-kira jam 2 petang ini.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hasan Syed Ali dilaporkan berkata, laporan rasmi dibuat bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pertubuhan Angkatan Nadi Jiwa Islam Malaysia (Panji Malaysia) bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan.

Menurut Syed Hasan, laporan itu dibuat susulan aduan serta persoalan yang diterima daripada orang ramai berhubung satu perjanjian kerajaan dengan syarikat luar negara.

Beliau turut meminta SPRM meneliti aliran wang kerajaan bagi memastikan tiada penyelewengan berlaku selain mendakwa kementerian terlibat merupakan kementerian penting yang mempunyai kepentingan besar kepada negara serta ekonomi.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img