LKAN: SPRM buka 2 kertas siasatan dakwaan tata kelola pengurusan yuran babitkan UKM

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka dua kertas siasatan susulan pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 membabitkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan itu membabitkan isu tata kelola dan ketidakaturan pengurusan kewangan.

“SPRM sudah memulakan siasatan dan sedang mendapatkan kerjasama daripada UKM untuk kita meneruskan siasatan. Dua kertas siasatan sudah dibuka dalam hal ini.

“Siasatan kini memfokuskan kepada isi program pengambilan pelajar yang dikesan tidak mendapat kelulusan ahli lembaga pengarah serta isu tuntutan palsu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

Berdasarkan LKAN 1/2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini, UKM dikesan berdepan ketakteraturan serius dan pelanggaran tata kelola dalam kutipan hasil yuran pelajar dan perbelanjaan di universiti itu yang tidak mematuhi undang-undang serta peraturan kewangan.

Menurut laporan itu, kutipan hasil dibuat oleh pihak tidak diberi kuasa iaitu Koperasi B-5-1788 bagi yuran pelajar berjumlah RM50.74 juta, merangkumi Sarjana Pendidikan (SPEND) RM3.53 juta dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) RM47.21 juta.

Selain itu, hasil yuran pelajar sebanyak RM32.36 juta yang diagihkan kepada Koperasi B-5-1788 termasuk RM0.87 juta diterima oleh UKM melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan eKewangan tidak direkodkan sebagai hasil yuran pelajar UKM.

Laporan itu menyatakan agihan yuran yang dikutip daripada pelajar SPEND dan DPLI oleh Koperasi B-5-1788 berjumlah RM21.02 juta, lewat diserahkan kepada pihak UKM antara 31 hingga 291 hari.

Mengulas lanjut, Azam berkata, setakat ini, tiada mana-mana saksi dipanggil dalam siasatan kes itu dan pihaknya akan mendapatkan dokumen penting daripada UKM bagi tujuan penyiasatan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img