BEKAS Ahli Parlimen Britain, George Galloway mengecam serangan Amerika Syarikat (AS) dan Isarel ke atas sebuah sekolah di Selatan Iran yang menyebabkan 167 orang murid perempuan terbunuh.
Beliau menyifatkan pembunuhan pelajar perempuan di bandar Minab sebagai bencana terbesar yang disebabkan oleh Amerika Syarikat (AS) sejak Perang Vietnam.
Dalam kenyataan mengenai apa yang didakwanya sebagai sikap berdiam diri masyarakat antarabangsa, Galloway menghuraikan skala tragedi di wilayah terpencil Hormozgan
Galloway mendakwa bahawa 167 kanak-kanak perempuan berusia antara tujuh hingga 12 tahun terbunuh di dalam bilik darjah mereka di sebuah sekolah rendah di Minab.
“Kejadian ini berlaku berhampiran Hormuz, di kawasan terpencil dan hampir tidak dikenali di Iran; tiada alasan yang dapat difahami oleh sesiapa pun untuk perkara ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa 60 lagi mangsa kini dirawat di hospital akibat kecederaan yang dialami dalam serangan tersebut.
Bekas Ahli Parlimen itu juga mendakwa bahawa insiden di Minab bukan satu-satunya serangan yang menyasarkan orang awam pada peringkat awal konflik.
“Pada hari pertama perang, 40 pemain bola tampar — tiga pasukan atlet wanita — turut terbunuh dalam satu serangan udara,” kata beliau lapor WANA.
Galloway menegaskan bahawa insiden Minab merupakan “pembunuhan beramai-ramai pelajar perempuan terbesar dalam sejarah dunia yang direkodkan.”
Galloway turut mengkritik media Barat dan pemimpin dunia atas apa yang disifatkannya sebagai sikap berdiam diri yang disengajakan terhadap korban awam Iran.
Beliau mencabar orang ramai untuk membayangkan bagaimana liputan media akan berubah sekiranya pelakunya berbeza:
“Fikirkan sejenak: Jika Rusia membunuh 167 pelajar perempuan Ukraine, jika rakyat Palestin membunuh 167 pelajar perempuan Israel, atau jika Iran melakukan tindakan sedemikian, ia pasti menjadi tajuk utama dunia selama bertahun-tahun,’’ katanya.
Beliau mengakhiri kenyataannya dengan menyatakan bahawa walaupun skala tragedi yang didakwanya sebagai “Pembunuhan Beramai-ramai Minab” belum pernah berlaku sebelum ini, perbincangan global dilihat masih hambar dan tidak sepadan dengan kehilangan nyawa rakyat Iran.


