SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka satu lagi kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dalam syarikat konglomerat IJM Corporation Berhad (IJM Corp).
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, dengan kertas siasatan terbaharu itu membabitkan pengambilalihan saham oleh Sunway Berhad, baru-baru ini.
“Kita sedang melihat adakah pengambilalihan itu mempunyai isu rasuah, salah guna kuasa atau kesalahan dalam tata kelola,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.
Azam dalam pada itu mengesahkan setakat ini tiga kertas siasatan sudah dibuka SPRM berkait isu penyelewengan IJM termasuk yang terbaharu hari ini.
“Kertas siasatan pertama dibuka berkait kes penggubahan wang berjumlah sekitar RM2.5 bilion yang dilaburkan di United Kingdom (UK).
“SPRM ketika ini sedang bekerjasama dengan negara berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada mereka,” katanya.
Beliau berkata, kertas siasatan kedua pula berhubung satu projek dijalankan IJM Corp di mana pihaknya sudah memanggil beberapa individu untuk dirakam percakapan dan pihaknya percaya, siasatan itu masih lagi panjang.
Mengulas siasatan terbaharu itu, Azam berkata SPRM perlu menjalankan siasatan kerana terdapat syarikat milik kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mempunyai kepentingan dalam IJM.
“Jadi, ia menjadi tanggungjawab kami untuk menyiasat kes ini kerana kita menerima laporan mengenai perkara itu,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, SPRM menahan pegawai pengurusan tertinggi IJM Corp selepas menyerbu beberapa lokasi termasuk sebuah bank pelaburan.
Difahamkan, ia susulan siasatan SPRM terhadap kes berkaitan isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai RM2.5 bilion.
Siasatan awal ketika itu mendapati bank pelaburan berkenaan dilantik untuk menguruskan proses tawaran pengambilalihan ke atas IJM Corp termasuk urusan kawal selia dengan sebuah badan berkanun biaya kendiri.


