KERAJAAN negeri Selangor menaja sepenuhnya 75 jemaah dari negeri itu yang bakal menunaikan ibadat haji pada tahun ini dengan kos sebanyak RM1.2 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan meluluskan tajaan penuh itu dibuat menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan kos berkenaan ditanggung oleh kerajaan negeri.
Menurut beliau, jumlah jemaah yang ditaja penuh tahun ini ada peningkatan sebanyak 29 orang berbanding 46 jemaah yang menerima manfaat tajaan penuh pada tahun lalu.
“Bagi meringankan urusan perjalanan, kerajaan negeri dan Yayasan MBI akan turut menyampaikan bantuan RM1,500 kepada 75 jemaah ini.
“Syarat dan kelayakan jemaah yang bakal menerima manfaat tajaan penuh akan diusahakan dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji melalui syor Jabatan Agama Islam sebelum disembah maklum untuk perkenan Sultan Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amirudin berkata, dengan mengambil kira situasi yang tidak menentu di Asia Barat, kerajaan negeri akan bekerja rapat dengan Wisma Putra berlandaskan garis panduan keselamatan supaya perjalanan jemaah Selangor diberikan keutamaan.


