SEORANG pekerja kilang berusia 20 tahun direman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, hari ini, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan serangan terhadap pendakwah bebas, Zamri Vinoth.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret, Nik Muhammad Shahrul Aiman Kamalrulzaman bermula hari ini hingga Rabu, lapor Harian Metro.
Suspek tiba di mahkamah kira-kira jam 9.45 pagi dengan diiringi anggota polis serta memakai pakaian lokap polis berwarna oren.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Azizee Ismail mengesahkan polis ada menerima laporan daripada Zamri berhubung dakwaan serangan terhadapnya dan polis menahan seorang lelaki pada awal pagi, hari ini.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan. Siasatan masih dijalankan,” katanya kepada New Straits Times ketika dihubungi.
Seksyen 506 berkaitan ugutan jenayah, manakala Seksyen 427 membabitkan kesalahan melakukan khianat.
Difahamkan, suspek adalah pemilik sebuah motosikal yang muncul dalam video tular memaparkan serangan terhadap Zamri kira-kira jam 3 petang di tepi jalan di Taman Aston Acacia, semalam.
Susulan kejadian itu, suspek ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah.
Polis turut mengesan beberapa individu lain yang dipercayai terbabit dalam serangan itu bagi membantu siasatan.
Semalam, Zamri yang lantang bersuara mengenai isu pencerobohan tanah mendakwa beliau diserang oleh sekumpulan individu.
Dalam satu hantaran di Facebook, beliau mendakwa kumpulan itu cuba menyerangnya, namun beliau berjaya melarikan diri.
“Mereka membawa kayu dan batu serta cuba menyerang saya. Alhamdulillah, mereka hanya membaling batu dan memecahkan cermin kereta saya.
“Mereka hanya berani bertindak apabila menyerang secara berkumpulan. Sebab itu saya kata mereka tidak boleh dibiarkan. Mereka sudah mula mencabar kita,” katanya.


