Kerajaan iktiraf wanita nadi kekuatan keluarga, kemajuan negara

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan wanita sebagai merupakan nadi kekuatan keluarga, tiang seri masyarakat serta penggerak penting kepada kemajuan negara.

Menurut beliau, di sebalik keluarga yang utuh dan masyarakat sejahtera, terserlah pengorbanan, ketabahan serta kebijaksanaan wanita yang tidak pernah jemu mencurahkan kasih sayang demi masa depan yang lebih baik.

Sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa hari ini, Perdana Menteri turut berkongsi penghargaan secara peribadi terhadap wanita yang menjadi sumber kekuatan dalam hidupnya, khususnya isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta anak-anaknya.

“Secara peribadi, saya amat menghargai segala pengorbanan wanita dalam kehidupan saya sendiri, khususnya Azizah serta anak-anak yang sentiasa menjadi sumber kekuatan, kesabaran dan dukungan sepanjang perjalanan perjuangan ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Menurut beliau, kekuatan yang sama turut terpancar daripada jutaan wanita di seluruh negara yang memainkan pelbagai peranan dalam kehidupan masyarakat.

“Sesungguhnya, kekuatan yang sama juga terpancar daripada jutaan wanita di seluruh negara, para ibu, isteri, anak, pendidik, penjaga dan pemimpin masyarakat yang setiap hari berjuang dalam senyap demi keluarga dan negara tercinta,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar menyeru rakyat agar bersama-sama menghargai peranan serta sumbangan besar wanita, selain memastikan golongan itu terus dihormati dan diperkasa.

“Sempena Hari Wanita Antarabangsa, marilah kita bersama-sama menghargai peranan dan sumbangan besar wanita, serta memastikan mereka terus dihormati, diperkasa dan diberikan ruang yang adil untuk menyumbang kepada kemajuan negara. Kalian adalah kekuatan, harapan dan masa depan negara,” katanya.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img