INSTITUT Masa Depan Malaysia (MASA) menyeru semua pihak memperkukuh usaha memperkasa wanita melalui pendekatan yang adil, saksama dan berteraskan nilai murni sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd Amin berkata, berlandaskan tema tahun ini ‘Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara‘, pemerkasaan wanita bukan sekadar agenda kesaksamaan sosial, sebaliknya merupakan strategi pembangunan nasional bagi memacu pertumbuhan negara yang mampan, inklusif dan berdaya tahan.
Menurutnya, selaras dengan aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), setiap wanita dan kanak-kanak perempuan berhak hidup dengan maruah serta rasa aman.
“Mereka sewajarnya diberi akses kepada pendidikan berkualiti, penjagaan kesihatan yang baik, peluang pekerjaan yang adil serta ruang saksama untuk membina masa depan yang lebih sejahtera,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Wanita Antarabangsa 2026.
Bagaimanapun, beliau berkata ketidakadilan struktur serta amalan diskriminasi terhadap wanita masih wujud dan mengehadkan ruang serta peluang mereka untuk menyumbang secara optimum kepada pembangunan negara.
“Menurut Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) 2025, kadar penyertaan tenaga buruh wanita berada pada tahap 56.5 peratus, jauh lebih rendah berbanding lelaki iaitu 83 peratus.
“Selain itu, Statistik Siswazah 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa secara purata siswazah wanita memperoleh pendapatan RM900 lebih rendah berbanding siswazah lelaki walaupun memiliki kelayakan akademik yang setara,” ujarnya.
Azril berkata, dalam era transformasi digital serta peralihan kepada ekonomi hijau dan ekonomi masa depan, penglibatan wanita secara lebih meluas bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan strategik.
“Peningkatan kadar penyertaan wanita dalam pasaran tenaga kerja berpotensi meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia antara tujuh hingga 12 peratus,” katanya.
Beliau berkata perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) milik wanita juga menunjukkan daya tahan tinggi terutama dalam sektor perkhidmatan dan ekonomi digital, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta peningkatan pendapatan isi rumah.
Namun katanya, jurang penyertaan wanita dalam kepimpinan dan tadbir urus masih ketara.
“Walaupun peratusan wanita dalam lembaga pengarah bagi 100 syarikat tersenarai awam teratas melepasi sasaran 30 peratus, perwakilan wanita dalam kepimpinan politik dan pentadbiran tertinggi negara masih rendah.
“Ketika ini hanya sekitar 13.5 peratus ahli Parlimen Malaysia terdiri daripada wanita manakala kurang daripada 20 peratus jawatan menteri dipegang oleh wanita,” katanya.
Tambah beliau, wanita juga hanya merangkumi sekitar 27.1 peratus daripada penggubal undang-undang, pegawai kanan dan pengurus dalam sektor pentadbiran serta organisasi.
Sehubungan itu, MASA menggesa semua pihak termasuk individu, sektor perniagaan, penggubal dasar dan organisasi masyarakat sivil untuk memperkukuh komitmen dalam memperkasa wanita.
Menurut Azril, usaha itu memerlukan pembaharuan dasar dan kerangka perundangan yang lebih progresif bagi memastikan hak dan maruah wanita terus terpelihara serta mengekang sebarang bentuk eksploitasi dan diskriminasi.
“Apabila wanita diberikan peluang, sokongan dan akses yang adil, mereka bukan sahaja mampu memperkukuh ekonomi negara malah menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang lebih sejahtera dan berintegriti,” katanya.
Beliau berharap dengan komitmen bersama semua pihak, Malaysia mampu melangkah ke hadapan sebagai negara yang benar-benar menghargai serta memanfaatkan potensi wanita sebagai rakan kongsi penting dalam pembangunan negara.


