SEMUA peniaga belon yang beroperasi di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) kini diwajibkan memiliki lesen sebagai pembaharuan yang diperkenalkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi tahun 2026.
DBKL dalam kenyataan memaklumkan, langkah itu dilaksanakan bagi memastikan aktiviti perniagaan dijalankan secara sah, teratur serta selamat kepada pengunjung.
“Pemantauan yang dijalankan Jabatan Penguatkuasa DBKL di Jalan TAR, malam semalam mendapati peniaga belon yang beroperasi kini sudah dilesenkan selaras dengan peraturan baharu itu.
“Inisiatif ini bukan sahaja memberi perlindungan kepada pengguna, malah membantu peniaga menjalankan perniagaan secara sah dan lebih tersusun,” menurut kenyataan itu.
Tambah DBKL, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua peniaga mematuhi syarat lesen yang ditetapkan.
Katanya, langkah itu juga bagi memastikan aktiviti perniagaan di kawasan tumpuan seperti Jalan TAR kekal selamat, terkawal dan teratur.


