`Jangan takut, bukan orang DAP buat kajian syor pilihan raya DBKL’ – Hannah Yeoh

KAJIAN berhubung cadangan pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) bukan dilaksanakan oleh DAP, sebaliknya dijalankan universiti awam (UA) terkemuka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menegaskan, kajian itu dilaksanakan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Beliau berkata, kajian terbabit dijalankan sejak Disember lalu di bawah bekas menteri yang menjaga hal ehwal Wilayah Persekutuan sebelum ini.

“Saya sudah jelaskan bahawa di peringkat ini, ia (masih) di peringkat kajian. Kenapa kita buat kajian? Kerana ada rang undang-undang persendirian yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen dalam sidang Parlimen yang lalu.

“Jadi kajian ini bukan dilaksanakan sekarang, kajian ini berlangsung sejak Disember (tahun lalu), semasa mantan Menteri Wilayah.

“Jangan takut, kajian ini dilakukan oleh Universiti Islam Antarabangsa, ia universiti terkemuka, jadi kajian ini bukan dilakukan oleh orang DAP, ini adalah Universiti Islam Antarabangsa,” katanya, lapor BH.

Beliau berkata demikian pada sidang media majlis menandatangani Nota Kerjasama antara Jabatan Wilayah Persekutuan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu negara, hari ini.

Mengulas lanjut, Hannah memaklumkan hasil kajian itu masih belum diperoleh.

“Saya tak ada hasil kajian mereka lagi. Kita masih menunggu. Selepas kita dengar kajian, boleh buat atau tak boleh buat, baru kita akan sediakan kertas Kabinet untuk maklumkan kepada Jemaah Menteri sama ada Jabatan Wilayah Persekutuan nak pinda akta atau sebaliknya,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan adalah terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan atau kenyataan lanjut berhubung cadangan berkenaan.

“Pada masa ini, adalah pramatang untuk komen kerana proses kajian sedang dilaksanakan,” katanya.

Kelmarin, Hannah memaklumkan, kajian sedang dijalankan sejak Disember lalu oleh UIAM bagi proses pelaksanaan pilihan raya PBT di ibu kota, termasuk pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Susulan kenyataan Hannah itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dilapor menegaskan cadangan terbaharu itu adalah kesinambungan usaha sebelum ini, termasuk cadangan Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dan pilihan raya PBT yang ditentang.

Turut menolak cadangan itu ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii yang menyifatkan agenda pilihan raya PBT sebagai satu tindakan politik yang berisiko merugikan rakyat.

Pada 2023, DAP Wilayah Persekutuan pernah menggesa kerajaan supaya mengembalikan semula pilihan raya di peringkat bandar raya Kuala Lumpur.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img