Ahmad Alamolhoda dilantik ganti Ali Khamenei?

SIAPAKAH bakal menggantikan Allahyarham Ayatollah Ali Khamenei? Persoalan itu timbul apabila hari ini badan yang bertanggungjawab memilih pemimpin tertinggi baharu Iran dilaporkan telah mencapai keputusan, namun nama individu yang dipilih masih belum diumumkan.

Menurut anggota badan itu,  Ahmad Alamolhoda, proses pengundian bagi melantik pemimpin tertinggi telah selesai.

”Pengundian untuk melantik pemimpin telah berlangsung dan pemimpin telah dipilih,” katanya seperti dipetik agensi berita Mehr News Agency.

Beliau berkata sekretariat badan berkenaan akan mengumumkan nama pemimpin itu kemudian. Beberapa anggota lain turut mengesahkan keputusan berkenaan, dengan seorang daripadanya mencadangkan anak kepada Ali Khamenei, Mojtaba Khamenei mengisi jawatan itu.

Bagaimanapun beberapa media utama di Iran melaporkan Ahmad Alamolhoda telah dipilih oleh badan tersebut untuk menggantikan Ali Khamenei yang terbunuh pada 28 Februari lalu dalam serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran.

Ahmad Alamolhoda ialah ulama Syiah kanan di Iran yang berpengaruh dalam politik dan agama, serta merupakan tokoh konservatif yang rapat dengan kepimpinan Republik Islam Iran.

Ulama itu dilahirkan pada 1 September 1944 di Mashhad dan dikenali sebagai tokoh konservatif dalam politik dan agama Iran.

Beliau juga terkenal kerana mempunyai hubungan keluarga dengan Ebrahim Raisi apabila anak perempuannya berkahwin dengan anak bekas Presiden Iran itu.

Ahmad Alamolhoda memimpin khutbah Jumaat di bandar suci Mashhad, salah satu bandar agama terpenting di Iran dan bertindak sebagai wakil kepada Ali Khamenei di wilayah Razavi Khorasan.

Mojtaba Khamenei sebelum ini sering disebut sebagai calon pengganti bapanya yang memegang jawatan pemimpin tertinggi sejak 1989.

Jawatan pemimpin tertinggi merupakan autoriti politik dan agama tertinggi di Iran serta mempunyai kuasa muktamad dalam semua urusan negara.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img