DUA video daripada aplikasi TikTok didakwa mengandungi suara Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai sejumlah wang yang dimasukkan ke akaun Bersatu, dikemukakan pada perbicaraan hari pertama kes rasuah dan pengubahan haram dihadapi bekas Perdana Menteri itu.
Ia membabitkan empat kes salah guna kedudukan untuk suapan berjumlah RM225.3 juta dan tiga pengubahan wang haram (AMLA) sebanyak RM195 juta dihadapi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berusia 79 tahun itu.
Penolong Penguasa (PPs) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Syawaludin Said selaku saksi pendakwaan (SP) pertama berkata, demikian ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nordin bagi kes dihadapi Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) terbabit.
Mohd Syawaludin yang bertugas di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya sejak Ogos 2014 berkata, satu video membabitkan audio sahaja sementara satu lagi rakaman audio termasuk visual.
Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Mohd Afzal, Mohd Syawaludin, 37, berkata, dia mendengar audio itu pada 16 Januari 2025 sementara rakaman kedua pada 26 Julai tahun sama.
“Rakaman audio itu mengandungi suara Tan Sri Muhyiddin, yang dalam video itu, beliau menafikan telah menerima wang dalam poket sendiri sebaliknya, ke akaun parti.
“Pemilik akaun bagi rakaman pertama berdurasi 17 saat, dimuat naik oleh individu menggunakan nama ‘@puterishantek’ pada 22 September 2024.
“Rakaman kedua pula dimuat naik oleh pengguna aplikasi atas nama ‘@wanhadi21’ yang mana saya tidak mengenali kedua-dua individu berkenaan,” katanya, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, mengenali suara Muhyiddin kerana ahli politik itu merupakan Perdana Menteri kelapan.
Susulan itu, saksi berkenaan berkata, audio berkenaan dimuat turun menggunakan laman web ssstik.io untuk dijadikan bahan bukti di mahkamah.
Menerusi transkripsi audio daripada kedua-dua akaun, Mohd Syawaludin mendengar suara seorang lelaki berkata, “Tuduhan pada saya, saya terima rasuah!”
Katanya, ia termasuk ayat bersifat penafian iaitu “Mana saya terima, Wallahi satu sen pun tak masuk poket saya, dia masuk pada parti!”
Beliau berkata, terdapat ayat menyatakan “Nak cerita saya tidak perasuah! Yang saya hadapi tuduhan bukan kerana saya rasuah. Parti saya dapat duit. Dia tuduh saya ambil duit”.
Sementara itu, peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Ahli Parlimen Pagoh memberi soalan secara bertalu-talu terhadap saksi ini.
Mohd Syawaludin kemudiannya mengakui bahawa, tiada siasatan dibuat terhadap identiti individu yang menyunting rakaman terbabit.
Peguam: Jadi siapa yang memasukkan kapsyen, lokasi dan tanda pagar dalam video tersebut?
Mohd Syawaludin: Tidak pasti.
Peguam: Tuan kenal ‘@puterishantek’ dan ‘@wanhadi21’?
Mohd Syawaludin: Tidak kenal.
Peguam: Adakah tuan siasat identiti mereka atau sekurang-kurangnya diarahkan oleh pegawai atasan untuk menyiasat mereka?
Mohd Syawaludin: Tidak.
Peguam: Mahupun tuan mengambil inisiatif untuk menyiasat dua individu terbabit?
Mohd Syawaludin: Pegawai penyiasat, Penolong Pesuruhjaya, Mazery Mohd Zaini tidak mengarahkan saya untuk mengesan atau menyiasat dua individu terbabit malah tiada inisiatif sendiri untuk menyiasat perkara terbabit.
Peguam: Tuan tahukan, mereka merupakan ‘cybertrooper‘ isu politik.
Mohd Syawaludin: Tidak tahu.
Peguam: Pernahkah anda mendengar tentang AI iaitu kecerdasan buatan?
Mohd Syawaludin: Ya, pernah.
Peguam: Jika anda tidak menyiasat kesahihannya, bolehkah tuan tahu sama ada video ini dijana oleh AI atau tidak?
Mohd Syawaludin: Tidak boleh.
Peguam: Saya lihat ‘@puterishantek’ tiada dalam senarai saksi, adakah dia akan dipanggil memberi keterangan di mahkamah ini?
Noor Ruwena kemudiannya mencelah dan berkata soalan berkenaan tidak relevan untuk diajukan kepada saksi terbabit.
“Mungkin ada seratus orang mengaku sebagai ‘@puterishantek’,” kata hakim.
Akur dengan perkara itu, Amer Hamzah kemudiannya mencadangkan bahawa, aplikasi TikTok bukanlah bukti yang boleh dipercayai, kemudian dibalas tidak setuju oleh saksi terbabit.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama hingga keempat, Ahli Parlimen Pagoh ini didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden parti, telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM225.3 juta.
Wang itu didakwa daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff, 51 dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd, bagi sekutu parti itu.
Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika ia dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kelima dan keenam, Muhyiddin selaku Presiden parti itu, didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.
Kesalahan didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara Kuala Lumpur, di sini antara 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Seksyen ini membawa hukuman penjarakan sehingga 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


