DATUK Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergian Allahyarham Profesor Diraja Syed Muhammad Naquib al-Attas yang merupakan sarjana yang amat dihormati adalah kehilangan besar buat dunia kerana telah menabur bakti besar dalam memartabatkan tradisi ilmu, adab dan tamadun Islam.
Perdana Menteri berkata, beliau sempat menyampaikan salam takziah kepada ahli keluarga Allahyarham serta menzahirkan penghargaan terhadap khazanah pemikiran yang amat bernilai yang ditinggalkan, khususnya dalam memperkasa kefahaman mengenai konsep ilmu, adab serta peranan Islam dalam membentuk peradaban yang luhur.
‘’Sesungguhnya jasa dan sumbangan Allahyarham akan terus dikenang dan menjadi sumber inspirasi kepada generasi ilmuwan serta umat Islam dalam meneruskan tradisi keilmuan yang berteraskan hikmah dan nilai.
‘’Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, mengampuni segala dosa serta menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh,’’ katanya melaui Facebook beliau.
Perdana Menteri turut menunaikan solat jenazah untuk Allahyarham di Masjid Al-Taqwa, Taman Tun Dr.Ismail, Kuala Lumpur.






