Sindiket pecah rumah babit kerugian RM1 juta tumpas, 5 ditahan polis

SATU sindiket pecah rumah aktif di Pulau Pinang yang dipercayai terbabit sekurang-kurangnya 42 kes jenayah dengan kerugian mencecah RM1 juta berjaya ditumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi operasi Op Shadow pertengahan Februari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, operasi itu dijalankan pihaknya dengan kerjasama JSJ Kontinjen Pulau Pinang bagi menumpaskan kumpulan penjenayah yang aktif melakukan jenayah harta benda, khususnya kes pecah rumah di negeri berkenaan.

“Kumpulan penjenayah ini diketuai seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun dan mempunyai lapan orang ahli berusia lingkungan 22 hingga 35 tahun.

“Kesemua suspek dipercayai mula bergiat aktif sejak tahun 2024 sehingga Oktober 2025 dan terbabit dalam sekurang-kurangnya 42 kes jenayah pecah rumah membabitkan jumlah kerugian dianggarkan menghampiri RM1 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Kumar berkata, dalam operasi yang dijalankan pada 15 Februari lalu itu, seramai lima suspek berusia 22 hingga 26 tahun ditangkap dan kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) SOSMA 2012.

Menurutnya, tiga lagi suspek berusia antara 23 hingga 31 tahun sudah dikenal pasti dan ketika ini berada dalam tahanan di Penjara Jawi, Pulau Pinang serta Penjara Alor Setar, Kedah atas kesalahan lain.

“Kesemua tangkapan mempunyai rekod kesalahan lampau seperti rompak berkumpulan, pecah rumah, curi dalam bangunan, curi kenderaan, mendatangkan kecederaan, khianat, memiliki dan melupuskan barangan curi serta aktiviti penagihan dadah,” katanya.

Kumar berkata, modus operandi kumpulan ini adalah memecah masuk rumah-rumah di kawasan perumahan mewah yang berpagar dan mempunyai kawalan keselamatan selain daripada kawasan perumahan biasa.

“Kumpulan ini akan menggeledah serta melarikan barangan berharga seperti barang kemas, barangan elektronik, wang tunai dan lain-lain barang yang mudah untuk dilupuskan.

“Kesalahan yang dilakukan oleh kumpulan ini secara bersama adalah untuk mendapatkan faedah material,” katanya.

Katanya, susulan penangkapan ahli kumpulan itu, pihaknya berjaya menyelesaikan 42 kes jenayah berkaitan dan menumpas satu sindiket pecah rumah aktif di Pulau Pinang.

Menurut Kumar, kertas siasatan telah dirujuk dan ditaklimatkan ke Pejabat Unit Jenayah Berat, Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Jumaat lalu.

“Berdasarkan keterangan dan bukti-bukti yang dikemukakan, pihak pendakwaan telah bersetuju untuk menuduh kesemua lapan orang suspek di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan.

“Pertuduhan akan dilaksanakan di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang esok,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa PDRM komited untuk terus menumpaskan semua bentuk kumpulan jenayah terancang melalui pelaksanaan operasi bersepadu, risikan dan penguatkuasaan undang-undang secara berterusan.

“Kami akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang terbabit dalam jenayah terancang demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan awam,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img