SPRM, ATM perkukuh kerjasama strategik dalam sektor pertahanan

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus meningkatkan kerjasama strategik menerusi pelbagai bidang khususnya dalam memperkukuhkan integriti serta tadbir urus pertahanan negara.

Komitmen itu dizahirkan menerusi kunjungan hormat Panglima Angkatan Tentera Malaysia (PAT), Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

GAMBAR: SPRM

Pertemuan sulung ini juga adalah bersempena dengan pelantikan Malek Razak sebagai PAT ke-24 ATM yang baharu, berkuat kuasa pada 1 Februari lalu.

Azam berkata, menerusi kerjasama itu, SPRM dan ATM juga akan memperbaharui memorandum persefahaman (MoU) di antara Bahagian Perisikan SPRM dan Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO).

GAMBAR: SPRM

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut menyentuh pelaksanaan tata kelola dalam bidang pengurusan perolehan, tender dan sebut harga bagi tempoh enam bulan.

“Inisiatif ini dilihat sebagai pendekatan strategik bagi memastikan setiap proses dilaksanakan secara telus, berakauntabiliti serta mematuhi peraturan dan tatakelola kewangan kerajaan.

“SPRM bersetuju untuk bekerjasama dengan ATM daripada aspek latihan pengurusan integriti dan penambahbaikan strategi antirasuah ATM,” katanya.

Pertemuan tersebut turut memfokuskan usaha pengukuhan kerjasama dalam aspek pengurusan media serta pemantapan mekanisme komunikasi bagi menyokong agenda pencegahan rasuah dalam ekosistem pertahanan.

Pada masa sama, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai beberapa isu teknikal serta peluang kerjasama dua hala antara SPRM dan ATM bagi mempertingkat kecekapan sistem penyampaian selain memperkukuh budaya integriti dalam institusi pertahanan negara.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin; Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin; Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Mejar Jeneral Datuk Saharudin Harun dan Inspektor Jeneral Markas ATM, Laksamana Muda Shahriman Mahmud.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img