POLIS menumpaskan kumpulan penjenayah Geng Lobo yang aktif mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) dan melakukan jenayah di lapan negeri sejak pertengahan Jun tahun lalu dalam operasi bulan lalu.
Penjenayah Geng Lobo yang didalangi lelaki dikenali sebagai Lobo dipercayai adalah perancang utama kumpulan itu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, kumpulan penjenayah itu dikesan bergiat aktif membabitkan 12 kes di sekitar kawasan lurang kabel TM di kawasan Kota Setar.
Menurutnya, kumpulan itu dianggotai lima ahli berusia lingkungan 30 hingga 61 tahun yang kesemuanya adalah penagih dadah jenis syabu dan tidak mempunyai pekerjaan yang tetap kecuali warga emas berusia 61 tahun yang ditahan itu adalah pembeli kabel yang dicuri suspek terbabit.

“Geng Lobo’ dan rakannya itu menyasarkan kawasan lurang yang dikenal pasti mempunyai kabel TM dengan menggunakan alat khas pengesan logam.
“Mereka akan menggunakan peralatan khas yang diubah suai dan kenderaan pacuan empat roda untuk menarik kabel. Kumpulan ini membawa hasil kegiatan jenayah terbabit ke premis membeli barangan lusuh di kawasan Semeling di Sungai Petani, ” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar hari ini.
Syed Basri berkata, suspek Geng Lobo ini terlibat dalam lapan kes jenayah di Kedah; satu kes jenayah di Perlis; 6 kes jenayah di Pulau Pinang; tiga kes jenayah di Perak; tiga kes jenayah di Johor; dua kes jenayah di Melaka; tiga kes jenayah di Negeri Sembilan dan satu kes jenayah di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, Geng Lobo ini disyaki terbabit melakukan 27 kes jenayah iaitu 25 kes curi kabel dan masing-masing kes mencuri komponen kenderaan serta menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
“Kumpulan ini berjaya ditahan sejak 9 Februari lalu jam 6 pagi oleh sepasukan anggota dan pegawai dari IPD Kota Setar di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.
“Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan kesalahan mendatangkan khianat dan Seksyen 411 Kanun keseksaan dan melupuskan harta yang dicuri, ” katanya.
Syed Basri berkata, pihaknya turut merampas tiga kenderaan iaitu kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara dan dua kereta jenis Volkswagen yang dipercayai kenderaan klon dari Singapura.
“Kumpulan penjenayah ini biasanya bergerak di kawasan sunyi pada waktu malam dan tiada pengawal keselamatan serta tiada kamera rakaman litar tertutup (CCTV) untuk mengelak perbuatan mereka dikesan, ” kata beliau.


