SEMBILAN individu termasuk tiga wanita tempatan ditahan dipercayai terbabit dalam kes curi kabel yang tular baru-baru ini.
Tangkapan suspek berkenaan dilakukan hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor; Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam; Task Force Balai Polis Seksyen 6 serta JSJ IPD Kuala Muda, Kedah menerusi operasi khas, Op Kabel Viral pada 23 dan 26 Februari lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, tindakan bersepadu itu dilakukan hasil risikan maklumat di beberapa lokasi berasingan di sekitar Dengkil, Selangor; Sungai Petani, Kedah dan Ipoh, Perak.
“Serbuan tersebut membawa kepada penahanan sembilan warga tempatan iaitu enam lelaki dan tiga wanita berusia antara 19 hingga 44 tahun.
“Semakan rekod mendapati sebahagian besar daripada mereka adalah penjenayah tegar dengan pelbagai rekod lampau membabitkan kes curi kabel, samun serta dadah, termasuk dua suspek yang masih dikehendaki (wanted) bagi kes di Subang dan Perak,” katanya pada sidang media di IPD Shah Alam hari ini, lapor Harian Metro.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sindiket berkenaan didapati menggunakan kelengkapan penyamaran seperti ves, baju berlogo syarikat telekomunikasi, lampu beacon serta topi keselamatan bagi melindungi aktiviti mereka.
Katanya, polis turut menemui dokumen transaksi jual beli dan salinan resit bank berjumlah RM60,000.
“Hasil ujian saringan air kencing mengesahkan tujuh suspek positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan THC.
“Pihak polis menyita pelbagai aset yang digunakan dalam kegiatan tersebut seperti sebuah kereta jenis BMW hitam, sebuah Nissan Navara perak dan sebuah lori Mitsubishi Canter merah.
“Turut dirampas ialah 12 batang kabel serta 20 unit kulit kabel milik syarikat telekomunikasi bersama peralatan jenayah antaranya pemotong kabel, kapak dan besi pembuka lubang penyelenggaraan (manhole) yang diubah suai,” katanya.
Shazeli berkata, ketika ini polis sedang giat mengesan baki tiga lagi suspek lelaki warga tempatan berumur antara 29 hingga 42 tahun yang masih bebas bagi membantu siasatan.
Katanya, individu berkenaan dikenali Muhammad Zaidi Zainall @ Abah; Mohamad Shuhaimi Ismail @ Mat Balad dan Muhd Hafidzul Fauzie Merican Fadeli Shah Merican @ Mican yang mana kesemua suspek beralamat di Sungai Petani serta Kota Sarang Semut, Kedah.
“Operasi ini telah berjaya menyelesaikan beberapa kes yang dilaporkan di Jinjang, Kupang dan Padang Serai. Kita sudah mendapat arahan untuk menuduh kesemua suspek esok mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, sekumpulan lelaki dikesan dipercayai terlibat dalam kegiatan curi kabel di sekitar Seksyen 3 dekat Shah Alam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, satu laporan diterima dari seoranng saksi berusia 30-an yang juga penduduk sekitar lokasi kejadian yang terdengar bunyi bising di luar rumahnya kira-kira jam 5 pagi.


