PENDAKWAH bebas, Firdaus Wong Wai Hung mendakwa tiga kereta milik aktivis, Cikgu Chandra terbakar dipercayai dilakukan sekumpulan lelaki tidak dikenali, awal pagi tadi.
Menerusi hantaran di Facebook (FB), Firdaus memuat naik gambar kenderaan yang terbakar dan memaklumkan kejadian itu berlaku kira-kira jam 3 pagi.
“Mujur polis dan bomba sampai cepat untuk memadam api dan mengawal keadaan.
“Ketika Cikgu Chandra menghubungi saya pada 5.30 pagi tadi, dia memaklumkan pihak polis mengawal kawasan persekitaran rumahnya dan menjaga keselamatan keluarganya,” katanya.
Katanya, beliau yakin polis bakal menangkap suspek, dalang serta penghasut dalam waktu terdekat ini.
Sebelum ini, rumah Cikgu Chandra di Puchong didakwa diserang sekumpulan lelaki yang memecahkan cermin kereta serta tingkap kediamannya.
Serangan berlaku hanya beberapa hari selepas pendakwah bebas terkenal, Zamri Vinoth diserang sekumpulan lelaki ketika berada di dalam keretanya.


