Bersatu gantung Kiandee, Mas Ermieyati

SEBELAS hari selepas diberikan notis tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin parti, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Ketua Srikandi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin digantung keahlian berkuat kuasa hari ini.

Menurut notis dikeluarkan Lembaga Disiplin Bersatu, dua pemimpin itu digantung hak keahlian selama dua penggal pemilihan berkuat kuasa serta-merta kerana didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

Kiandee yang memuat naik surat penggantungan itu di Facebook bagaimanapun mempersoalkan keputusan parti yang hanya menggantung keahliannya, sambil mencabar kepimpinan parti memecatnya jika benar melakukan kesalahan serius.

Ahli Parlimen Beluran itu berkata, keputusan sekadar menggantung keahliannya menimbulkan tanda tanya, memandangkan beliau menganjurkan program ‘Reset’ diketuai Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dipecat parti 13 Februari lalu, selain menghadiri pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Bangkok.

Kiandee juga menegaskan tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan penggantungan itu.

“Jika benar itu adalah satu kesalahan besar, mengapa tidak dipecat? Mengapa sekadar digantung? Jika benar bersalah, pecat sahaja.

“Saya tidak akan merayu. Anggap saja tempoh rayuan ini telah tamat. Period,” katanya, sambil mendakwa keputusan itu menguatkan persepsi Lembaga Disiplin parti digunakan sebagai alat politik untuk melindungi Presiden serta kelompok kecil di sekelilingnya.

Notis itu menyatakan penggantungan tersebut turut melucutkan semua jawatan dipegang Kiandee dan Mas Ermieyati, malah mereka tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan atas nama parti sepanjang tempoh berkenaan.

Bagaimanapun, surat ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin, Datuk Mohd Radzi Manan itu memaklumkan mereka boleh mengemukakan rayuan kepada lembaga rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis dikeluarkan.

Kiandee dan Mas Ermieyati diberikan surat tunjuk sebab pada 28 Februari lalu, dan diberi tempoh tujuh hari untuk menjawab kerana melanggar Perlembagaan dan disiplin parti susulan menghadiri program berkenaan.

Namun, mereka mengambil pendirian untuk tidak menjawabnya.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata sudah menjangkakan beliau tidak akan dipecat, sebaliknya hanya digantung oleh parti.

“Saya sudah jangka digantung dan tak akan dipecat, tapi ia tak memberi apa-apa kesan kepada saya. Perjuangan politik saya tetap diteruskan,” katanya, lapor FMT.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img