Krisis Bersatu: Giliran Kiandee, Mas Ermieyati dikenakan notis tunjuk sebab

NAIB Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Ketua Srikandi, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin adalah dua pemimpin Bersatu terbaharu diberikan surat tunjuk sebab oleh Lembaga Disiplin parti itu.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan, namun beliau enggan mengulas lanjut.

“Ya… saya tidak boleh membuat kenyataan namun hanya boleh sahkan,” katanya, lapor BH.

Kiandee dan Mas Ermieyati dilihat berada dalam kem Datuk Seri Hamzah Zainudin apabila turut menghadiri Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik bersama Ketua Pembangkang, sehari selepas pemecatan bekas Timbalan Presiden Bersatu itu.

Kiandee sebagai Ketua Whip Ahli Parlimen BERSATU juga sebelum ini menyerahkan surat kepada Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang turut ditandatangani Mas Ermieyati bagi menyokong Hamzah kekal sebagai Ketua Pembangkang.

Berdasarkan notis tunjuk sebab terbabit, Kiandee menerima aduan kerana melanggar Perlembagaan dan disiplin parti susulan menghadiri program reset berkenaan.

Mengikut notis itu, Kiandee didakwa Lembaga Disiplin kerana menganjurkan atau terbabit dalam program yang bercanggah dengan arahan rasmi parti; memberi kenyataan yang mempertikaikan kepemimpinan Presiden dan keputusan parti.

Selain bertindak membuat kenyataan secara terbuka sehingga menjejaskan perpaduan dan autoriti kepemimpinan parti dan gagal mematuhi keputusan parti.

Kedua-dua pemimpin itu diberikan tempoh tujuh hari bermula 28 Februari lalu untuk menjawab notis terbabit.

Sementara itu, Kiandee berkata, pihaknya tidak berhasrat untuk memberi maklum balas terhadap notis berkenaan kerana mendakwa ia tidak akan mengubah agenda Bersatu.

“Sejak dua tahun ini, parti hanya tumpu kepada mengangkat Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu) untuk menjadi Perdana Menteri dan ‘poster boy‘.

“Nampak sekali mana pemimpin parti yang mempersoal kehendak itu dilabel pengkhianat dan disingkir. Ia berlaku kepada Hamzah dan beberapa yang lain dan tidak mustahil akan berlaku lagi.

“Suara majoriti tidak diendahkan. Puak ini menggunakan apa juga mekanisme dalam parti termasuk Lembaga Disiplin untuk melenyapkan kehendak majoriti demi agenda Presiden,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau bersedia jika dikenakan tindakan sama seperti Hamzah, Kiandee bagaimanapun berkata, ia tidak penting.

It doesn’t matter (tidak penting) itulah kehendak mereka supaya parti dikawal secara minoriti,” katanya.

Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah pula berkata, notis tunjuk sebab yang dikenakan kepadanya atas aduan kesalahan yang lebih kurang sama dengan Kiandee.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img