LIMA nelayan asing termasuk dua tekong ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis selepas dua vesel nelayan tempatan (VNT) disyaki melanggar syarat sah lesen di perairan Langkawi, semalam.
Kedua-dua vesel itu ditahan dalam rondaan rutin membabitkan Op Aman, Tiris 3.0, Guard 5.0, Khas Tanjung 2 Siri 1/2026 dan Khas Pagar Laut 1/2026 kira-kira 8.2 batu nautika Barat Laut Tanjung Chinchin, jam 2.45 petang.
Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, bot ronda Maritim Malaysia menahan kedua-dua vesel berkenaan ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati vesel terbabit dikendalikan dua tekong bersama lima kru warga Thailand berusia antara 32 hingga 67 tahun.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel terbabit melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang daripada 15 batu nautika dari pantai.
“Kes itu turut membabitkan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Romli berkata, anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk vesel dan peralatan menangkap ikan melebihi RM1 juta.
Katanya, kedua-dua vesel bersama kru dan barang kes kemudian dibawa ke jeti Maritim Negeri Kedah dan Perlis di Bukit Malut untuk siasatan lanjut.
Beliau menegaskan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang dan akan terus mempergiat rondaan bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 untuk tindakan segera,” katanya.


