MISI pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 12 tahun lalu belum menghasilkan sebarang penemuan yang dapat mengesahkan lokasi bangkai kapal terbang itu.
Perkembangan itu dimaklumkan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan BSKU, operasi pencarian di bawah perjanjian dimeterai pada Mac 2025 itu dilaksanakan dalam dua fasa, masing-masing antara 25 hingga 28 Mac 2025 bagi Fasa I, diikuti 31 Disember 2025 hingga 23 Januari lalu untuk Fasa II.
Secara keseluruhan, katanya, operasi itu membabitkan tinjauan kira-kira 7,571 kilometer persegi kawasan dasar laut dalam zon pencarian ditetapkan.
Tambahnya, selama 28 hari operasi pencarian dijalankan bagi kedua-dua fasa selepas perjanjian dimeterai.
“Ocean Infinity turut memaklumkan beberapa aktiviti tinjauan tambahan dilaksanakan dalam kawasan pencarian lebih luas sebelum perjanjian rasmi ditandatangani sebagai sebahagian usaha menyokong operasi pencarian.
“Kerajaan komited memaklumkan perkembangan kepada keluarga mangsa dan akan terus menyalurkan kemas kini dari semasa ke semasa apabila terdapat perkembangan berkaitan operasi pencarian,” kata kenyataan itu.
Hari ini, menandakan ulang tahun ke-12 kehilangan pesawat Boeing 777 dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China itu, sekali gus kekal sebagai misteri terbesar dalam sejarah penerbangan dunia.
MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12.41 tengah malam, sebelum komunikasi terakhir dengan kawalan trafik udara direkodkan ketika pesawat beralih dari ruang udara Malaysia ke Vietnam.
Tidak lama selepas itu, pesawat dengan nombor pendaftaran 9M-MRO hilang daripada radar awam sebelum analisis data satelit kemudian menunjukkan ia dipercayai berpatah balik dan terbang jauh ke arah selatan Lautan Hindi.
Usaha pencarian membabitkan pelbagai negara serta syarikat persendirian sepanjang lebih sedekad di Lautan Hindi, dipercayai menjadi lokasi terakhir penerbangan pesawat itu menemui jalan buntu tanpa sebarang jawapan mahupun penemuan konkrit.
Sejak hari pertama pencarian sehingga kini, operasi menjejaki pesawat itu merangkumi kawasan dasar laut seluas lebih 250,000 kilometer persegi menggunakan kapal penyelidikan dan sonar termasuk peralatan berteknologi tinggi.
Sejak 2015, puluhan serpihan pesawat disyaki daripada MH370 ditemukan di pelbagai lokasi di perairan dan pesisir Lautan Hindi, termasuk di Pulau Reunion, namun hanya tiga penemuan iaitu sebahagian daripada flaperon serta serpihan daripada bahagian penutup enjin disahkan berasal daripada pesawat itu.
Pada 3 April tahun lalu, kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian dengan syarikat penerokaan laut dalam Ocean Infinity dari United Kingdom untuk menyambung semula operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang.
Berdasarkan laporan terakhir misi pencarian pesawat yang dikendalikan syarikat berkenaan bagi tempoh 6 hingga 15 Januari lalu, operasi dijalankan di atas kapal Armada 8605 meliputi kawasan kira-kira 7,236.40 kilometer persegi tanpa sebarang penemuan penting atau hasil muktamad dikenal pasti.
Insiden MH370 turut meninggalkan kesan mendalam kepada industri penerbangan global, sekali gus mendorong usaha memperkukuh sistem penjejakan pesawat serta perkongsian data penerbangan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.
Sepanjang tempoh 12 tahun, harapan keluarga mangsa tidak pernah bernoktah, malah penantian terhadap jawapan serta takdir sebenar pesawat itu terus tergantung tanpa kepastian.


