Polis siasat Zamri Vinoth berhubung kenyataannya dalam TikTok

POLIS sedang menjalankan siasatan terhadap penceramah bebas, Zamri Vinoth yang didakwa membuat kenyataan berbentuk ugutan, provokatif, menghina serta berunsur perkauman menerusi video siaran langsung dalam aplikasi TikTok baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, siasatan itu dijalankan susulan satu laporan polis yang dibuat pada 8 Mac berhubung video tersebut.

Menurut beliau, Zamri disiasat atas kemungkinan kesalahan hasutan, penghinaan dengan niat mencetuskan gangguan ketenteraman awam, serta penyalahgunaan dalam talian.

“Orang ramai diingatkan agar tidak membuat kenyataan atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, kandungan provokatif atau spekulasi yang boleh mencetuskan permusuhan antara kaum atau kumpulan.

“Polis memandang serius perkara itu kerana mahu memastikan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia serta mengekalkan ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, Azizee berkata, polis menahan empat lagi lelaki di Bukit Mertajam kira-kira jam 2.30 pagi tadi bagi membantu siasatan berhubung insiden melibatkan dakwaan serangan terhadap Zamri.

Zamri sebelum ini mendakwa dia diugut dan kenderaannya dirosakkan di Bukit Mertajam pada 7 Mac lalu.

Penahanan empat suspek berusia antara 29 hingga 31 tahun itu menjadikan jumlah tangkapan dalam kes tersebut kini enam orang.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 427 kerana melakukan khianat.

Azizee berkata, semua suspek telah direman selama dua hari sehingga esok bagi membantu siasatan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img