Kedai makan di Tok Bali diserbu, jalankan karaoke tanpa lesen

SEBUAH kedai makan di Tok Bali, Pasir Puteh diserbu pihak berkuasa selepas dipercayai menjalankan aktiviti hiburan berupa karaoke tanpa lesen sah dalam satu Operasi Bersepadu Kawalan Hiburan lewat malam, Sabtu lalu.

Premis tersebut dipercayai seolah-olah tidak menghormati kesucian bulan Ramadan apabila meneruskan operasi berkenaan.

Menurut Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) dalam kenyataan, operasi jam 11 malam itu dijalankan hasil kerjasama pihaknya bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pasir Puteh serta Pejabat Agama Pasir Puteh.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti hiburan tanpa kebenaran sah daripada pihak berkuasa tempatan.

“Susulan itu, tindakan diambil terhadap premis terbabit di bawah Seksyen 7(1)(a) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025 kerana menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen daripada MDPP,” katanya.

Menurut kenyataan tersebut, pihak penguat kuasa turut menyita satu set peralatan karaoke yang mengandungi lapan item sebagai barang kes bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Seksyen 27 enakmen yang sama.

Ujarnya, jika disabitkan kesalahan, pemilik premis boleh dikenakan kompaun maksimum sehingga RM25,000.

“Kesalahan itu juga boleh dibawa ke mahkamah dan jika sabit kesalahan, pesalah berdepan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Pihak berkuasa menegaskan operasi penguatkuasaan seperti ini akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua premis hiburan di daerah ini mematuhi undang-undang yang ditetapkan,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img