TOKOH kewangan Islam, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan bersubahat menjalankan perniagaan sekuriti tanpa lesen.
Mohd Daud, 62, yang juga bekas Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia (BNM) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Norma Ismail.
Mengikut pertuduhan, Mohd Daud didakwa bersubahat melakukan perbuatan berkenaan dengan bertindak sebagai wakil kepada Energy Eco Berhad di Pusat Perniagaan Reef, Rawang di sini antara 14 Jun 2021 dan 9 Ogos 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan dibaca bersama perenggan 370(c) dan subseksyen 367(1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM10 juta dan penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Shoba Venu Gobal mencadangkan jaminan RM200,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SC berdekatan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
“Ini merupakan kesalahan serius yang berkaitan dengan bersubahat. Tertuduh merupakan wakil (syarikat) Energy Eco Berhad ketika kejadian,” katanya.
Peguam Mohd Haziq Razali yang mewakili Mohd Daud memohon supaya jaminan dikurangkan kepada RM50,000 dan tidak membantah syarat tambahan ditetapkan pendakwaan memandangkan anak guamnya memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan bermula pada 2024.
Mahkamah kemudian membenarkan Mohd Daud diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan dan menetapkan 10 April depan untuk sebutan kes.


