Pemandu Thailand didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian

SEORANG lelaki rakyat Thailand mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Jitra hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, pertengahan bulan lalu.

Tertuduh, Yusof Senkonam, 60, dari Satun, Thailand memohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Thai di hadapan Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri.

Dia didakwa memandu secara berbahaya dan menyebabkan kematian Fatin Nursyafikah Haris Bawijad, 22, di persimpangan lampu isyarat RTC Napoh, Jalan Alor Setar-Bukit Kayu Hitam di Jitra pada jam 10.30 malam 15 Januari lalu.

Guru agama itu didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Asyiqin Hedzir manakala tertuduh diwakili peguam Zabidah Ahmad.

Majistret Nor Syaliati membenarkan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin warga tempatan dan memerintahkan lelaki itu melaporkan diri di balai polis setiap bulan selain lesen memandu di Malaysia digantung.

Pada 19 Januari lalu, dia didakwa di mahkamah yang sama namun Majistret Nor Syaliati menetapkan tarikh hari ini untuk pendakwaan semula bagi tertuduh mendapatkan jurubahasa Thailand selain tidak membenarkan lelaki itu diikat jamin.

Mahkamah hari ini menetapkan 15 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Memetik laporan media, dalam kejadian pada 15 Januari lalu, seorang gadis yang dalam perjalanan pulang ke rumah maut dirempuh sebuah van dari Thailand yang dipercayai melanggar lampu merah di persimpangan lampu isyarat Napoh.

Nahas meragut nyawa Fatin Nursyafikah yang bekerja sebagai pembantu kedai makan dan dia disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img