Pemandu lori didakwa rompak bersenjata, lakukan persetubuhan luar tabii

SEORANG pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata dan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap seorang wanita warga Thailand pada Disember lalu.

Tertuduh, G Loganathan, 32, didakwa merompak wang tunai RM300 daripada mangsa dengan bersenjatakan sebatang pemutar skru dan pembaris besi di dalam sebuah kereta di Taman Gembira, Kuala Lumpur pada jam 2 pagi, 26 Disember 2025.

Dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Loganathan turut didakwa melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap mangsa tanpa kerelaannya di dalam kenderaan sama di tepi Jalan Midah, Cheras, antara jam 2 pagi hingga 12.30 tengah hari, tarikh sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun hingga maksimum 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Ikhwan Mohd Nasir tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu serius dan tertuduh berisiko melarikan diri atau mengganggu mangsa serta saksi memandangkan mangsa ialah warga Thailand.

Peguam Charanpal Singh yang mewakili Loganathan memohon mahkamah membenarkan ikat jamin dengan alasan anak guamnya menghidap penyakit hernia dan perlu mendapatkan rawatan hospital serta bersedia mematuhi syarat tambahan.

Hakim Dr Azrol Abdullah menolak permohonan jaminan kerana kesalahan itu serius dan menetapkan 16 Mac ini sebagai tarikh sebutan kes.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img