Lagi kes pijak al-Quran, MCMC jalankan siasatan segera

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan segera susulan penyebaran visual di platform Threads dan Facebook yang memaparkan tindakan biadab seorang individu memijak al-Quran.

Dalam kenyataan hari ini, MCMC menegaskan perbuatan itu bukan sahaja menghina agama Islam, malah berpotensi mencetuskan ketegangan serta menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

MCMC memaklumkan, semakan awal mendapati hantaran asal berkenaan sudah dipadam dan akaun yang terlibat dipercayai menggunakan nama Dickie Borneo tidak dapat dikesan, namun siasatan lanjut akan diteruskan.

Kenyataan itu turut memaklumkan hasil pemantauan lanjut mengenal pasti beberapa hantaran lain yang mengandungi unsur penghinaan agama dipercayai melibatkan individu sama dalam sebuah kumpulan media sosial, dengan semua kandungan berkaitan dipelihara sebagai bahan bukti bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

“MCMC kini bekerjasama dengan platform media sosial bagi mendapatkan maklumat pemilik akaun untuk mengenal pasti individu terlibat. MCMC turut bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tindakan tegas dan segera dapat diambil,” menurut kenyataan itu.

MCMC turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan semula kandungan yang boleh mencetuskan ketegangan serta menjejaskan ketenteraman awam.

Suruhanjaya itu menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang kandungan yang menghina agama, menghasut kebencian atau menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja, dan tindakan tegas boleh dikenakan di bawah undang-undang sedia ada.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img