TENTERA Angkatan Bersenjata Republik Islam Iran berkata, mereka telah melancarkan serangan dron terhadap Pangkalan Udara Palmahim serta Ibu pejabat Shin Bet milik rejim Zionis.
Tasnim News Agency melaporkan, tentera Iran memaklumkan bahawa dalam beberapa jam lalu mereka melancarkan serangan menggunakan dron pemusnah yang menyasarkan menara kawalan, landasan lapangan terbang dan hangar di pangkalan udara Palmachim dan Ovda , selain menyerang ibu pejabat Shin Bet.
‘’Pangkalan udara Palmachim, yang terletak berhampiran Tel Aviv, merupakan pusat pelancaran satelit dan lokasi ujian peluru berpandu Israel. Ia juga menempatkan sistem pertahanan peluru berpandu seperti Sistem Pertahanan David’s Sling serta dron pengawasan Hermes 900 UAV,’’ kata kenyataan itu.
Ovda dianggap sebagai salah satu kemudahan strategik dan pangkalan latihan utama Tentera Udara Israel. Pangkalan ini juga pernah menempatkan pesawat pejuang Amerika Syarikat seperti Jet pejuang F-22 Raptor .
Agensi keselamatan dalaman Shin Bet pula berfungsi sebagai pusat operasi utama keselamatan domestik Israel, dengan tanggungjawab termasuk mengendalikan operasi keselamatan, menyelaras perlindungan tokoh penting serta menjaga keselamatan kemudahan strategik rejim tersebut.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan rejim Zionis hari ini mendakwa bahawa sejak bermulanya perang dengan Iran, seramai 2,745 peneroka Zionis telah menerima rawatan perubatan.
Dalam laporan itu, kementerian berkenaan tidak mendedahkan angka sebenar korban di pihak Israel, namun menyatakan bahawa 85 orang daripada yang cedera masih menerima rawatan.
Kementerian itu turut memaklumkan bahawa dalam tempoh 24 jam lalu, 179 peneroka haram Israel telah menerima rawatan akibat kecederaan.
Sementara itu, sumber media melaporkan bahawa siren amaran serangan telah diaktifkan di Tel Aviv dan Jerusalem Timur selepas pengesanan peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran.


