Rasuah Kuota Haji : Bekas Menteri Agama Indonesia ditahan  

BEKAS  Menteri Agama Indonesia, Yaqut Cholil Qoumas, akhirnya ditahan oleh Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) malam ini selepas menjalani siasatan sebagai suspek.

Yaqut dilihat keluar dari bilik pemeriksaan di Bangunan Merah Putih KPK, Jakarta dengan memakai rompi tahanan berwarna oren, menandakan beliau secara rasmi ditahan oleh pihak penyiasat. Sehari sebelumnya, permohonan praperadilan yang difailkan beliau telah ditolak oleh Pengadilan Negeri Jakarta Selatan.

Republika melaporkan, ketika dibawa menuju ke kenderaan tahanan, Yaqut menegaskan bahawa beliau tidak pernah menerima wang daripada kes rasuah kuota haji yang dituduhkan terhadapnya.

Menurut beliau, semua keputusan yang dibuat adalah semata-mata demi keselamatan jemaah haji.

“Saya tidak pernah menerima sesen pun daripada kes yang dituduhkan kepada saya. Semua tindakan yang saya ambil adalah demi keselamatan jemaah haji. Itu sahaja yang boleh saya sampaikan,” kata Yaqut kepada wartawan.

Sebelum ini, pihak Yaqut dilaporkan meminta penjadualan semula pemeriksaan pada hari tersebut. Namun, beliau menafikan perkara itu ketika tiba di KPK.

“Tiada (permohonan penangguhan pemeriksaan),” katanya kepada wartawan.

Yaqut menjelaskan kehadirannya adalah bagi memenuhi panggilan penyiasat KPK. Beliau tiba di bangunan KPK dengan mengenakan kemeja putih dan peci hitam serta diiringi pasukan peguamnya.

“Ya, saya hadir memenuhi undangan penyiasat KPK,” katanya. Ketika ditanya mengenai kemungkinan beliau ditahan pada hari tersebut, Yaqut menjawab secara santai, “Tanya diri anda sendiri.”

Beliau turut menyatakan bahawa pemeriksaan itu merupakan peluang untuk beliau memberikan penjelasan kepada pihak penyiasat.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Bahagian Penguatkuasaan dan Pelaksanaan KPK, Asep Guntur Rahayu, menjelaskan bahawa keputusan untuk menahan seseorang suspek memerlukan pelbagai syarat.

“Ada syarat formal dan material, selain syarat subjektif dan objektif berkaitan penahanan tersebut. Jadi, tunggu sahaja nanti,” katanya.

KPK mula menyiasat kes rasuah berkaitan penentuan kuota dan penyelenggaraan ibadah haji di Kementerian Agama Republik Indonesia bagi tahun 2023 hingga 2024 pada 9 Ogos 2025.

Pada 11 Ogos 2025, KPK menganggarkan kerugian negara dalam kes tersebut mencecah lebih daripada Rp1 trilion (RM230 juta) serta mengeluarkan larangan ke luar negara terhadap tiga individu selama enam bulan. Mereka ialah Yaqut, stafnya Ishfah Abidal Aziz atau Gus Alex, serta pemilik biro penyelenggara haji Maktour, Fuad Hasan Masyhur.

Pada 9 Januari lalu , KPK mengumumkan bahawa Yaqut dan Ishfah Abidal Aziz telah ditetapkan sebagai suspek dalam kes tersebut.

Yaqut kemudian memfailkan permohonan praperadilan terhadap penetapan status suspek di Pengadilan Negeri Jakarta Selatan pada kelmarin, namun semalam mahkamah menolak permohonan tersebut.

Sementara itu, audit oleh Badan Pemeriksa Keuangan Republik Indonesia (BPK) yang diterima KPK pada 27 Februari lalu mendapati kerugian kewangan negara dalam kes tersebut berjumlah sekitar Rp622 bilion (RM143 juta)

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img