HARI ini dalam satu kenyataan melalui rakaman video, bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau bersedia bersama parti itu tetapi penggantungan keahliannya harus ditarik balik terlebih dahulu.
Katanya, tiada masalah bagi beliau menerima pelawaan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mana-mana ahli parti yang telah dipecat atau digantung atau dah keluar parti kembali ke dalam parti tanpa syarat.
‘’Pentingnya sekarang saya tidak pernah lari daripada parti..isunya ialah status saya sebagai ahli UMNO di mana sebelum ini Majlis Tertinggi telah membuat keputusan menggantung saya . Jadi kalau betul ikhlas pendirian pucuk pimpinan parti, mereka (perlu) menarik balik penggantungan saya.
‘’ Saya akan kembali terus berjuang di dalam parti UMNO ini, lagi-lagi bersama UMNO Sembrong, bersama merapatkan barisan kita dalam UMNO Sembrong, UMNO Johor dan bersama-sama pucuk pimpinan memperkukuhkan dan memperkasakan perjuangan parti,’’ katanya.
Hishammuddin berkata, apa yang dipelawa oleh Ahmad Zahid bukan satu perkara yang sukar kerana beliau tidak pernah keluar parti.
‘’Dalam tiga tahun saya digantung saya tak pernah serang parti jadi hari ini apa bila kepimpinan telah membuat pendirian , saya rasa penting untuk saya memberitahu pada warga Sembrong dan kepimpinan UMNO Sembrong dahulu. Sebenarnya tidak timbul masalah langsung bagi saya untuk menerima apa yang telah dinyatakan oleh Presiden (UMNO),” katanya.
Pada 6 Mac lalu, Ahmad Zahid berkata, UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat, digantung keahliannya untuk kembali ke parti itu tanpa syarat.
Beliau berkata pelawaan di bawah inisiatif ‘Rumah Bangsa’ itu juga dibuka kepada mana-mana individu yang mahu bersama dengan perjuangan parti itu untuk menyertai UMNO.
“Dalam semangat Ramadan yang penuh rahmat dan keampunan, segala kekhilafan dan perbezaan yang lalu dimaafkan sepenuhnya, demi membuka lembaran baharu untuk memperkukuh kembali keluarga besar UMNO. UMNO melihat kesempatan ini sebagai waktu terbaik untuk mempertautkan kembali tali perjuangan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


