Sultan Selangor tidak berkenan spekulasi tarikh Aidilfitri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa tidak berkenan terhadap penyebaran pelbagai spekulasi di media sosial berkaitan penetapan tarikh sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Baginda bertitah, andaian atau ramalan membuta tuli mengenai tarikh Aidilfitri seolah-olah boleh menimbulkan kekeliruan dan kejutan kepada umat Islam.

Sehubungan itu, baginda meminta orang ramai supaya bersabar serta tidak mudah mempercayai spekulasi tanpa asas, sebaliknya merujuk kepada kenyataan rasmi.

“Baca dan hadamkan kenyataan yang dibuat oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor serta khutbah Jumaat berhubung perkara ini,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.

Tegas baginda, pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Aidilfitri hanya akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada Khamis, 19 Mac ini selepas mendapat perkenan Majlis Raja-Raja selaras dengan amalan yang dilaksanakan sejak sekian lama di negara ini.

Baginda turut menegaskan Malaysia mempunyai kaedah tersendiri dalam menentukan permulaan Ramadan dan Syawal menerusi kaedah rukyah dan hisab yang dilaksanakan secara teratur serta berpandukan keputusan pihak berkuasa agama yang berwibawa.

“Kaedah ini telah lama diyakini serta dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja dan tidak perlu dibandingkan atau dipengaruhi oleh penetapan yang dibuat oleh negara lain,” titah baginda.

Mengulas lanjut, baginda memaklumkan penjelasan terkini Jabatan Mufti Negeri Selangor pada 10 Mac lalu menyatakan permulaan awal bulan Islam bergantung kepada kenampakan hilal atau anak bulan serta data kedudukan bulan ketika cerapan di sesebuah negara.

“Setiap negara juga mempunyai matla’ ru’yah yang berbeza dalam menentukan permulaan bulan Hijrah,” menurut baginda.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img