Kerajaan umum diskaun tol 50 peratus sempena Aidilfitri

KERAJAAN hari ini mengumumkan diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan berkata, diskaun itu bagi membantu mengurangkan kos perjalanan rakyat pulang ke kampung sempena Aidilfitri.

DATUK Seri Anwar Ibrahim

“Inisiatif ini membabitkan tanggungan kewangan berjumlah RM21.03 juta bagi tujuan pampasan kepada syarikat konsesi tol.

“Diskaun ini akan berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam pada 18 Mac 2026 (Rabu) hingga jam 11.59 malam 19 Mac 2026 (Khamis), membabitkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua lebuh raya, kecuali di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia Singapura (LINKEDUA),” katanya yang juga Menteri Kewangan.

Menurut Perdana Menteri, Kerajaan MADANI menerusi Jabatan Insolvensi Malaysia juga akan melaksanakan ikhtiar pelepasan kebankrapan secara Fast Track.

Justeru, katanya, bersempena Aidilfitri ini, sekitar 4,000 individu, khususnya ibu dan bapa tunggal akan dibebaskan daripada belenggu kebankrapan.

Menurut beliau, semua langkah ini adalah manifestasi nilai ihsan dan kemanusiaan yang menjadi teras Kerajaan MADANI dalam memastikan rakyat terus menikmati manfaat daripada kemakmuran yang kita usahakan bersama.

Katanya, tatkala ekonomi dunia terus berdepan ketidaktentuan, Kerajaan MADANI mengambil pendirian tegas untuk terus melindungi kebajikan rakyat, khususnya sepanjang Ramadan dan persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Tambah Anwar, beberapa langkah telah dilaksanakan untuk meringankan beban rakyat dan memastikan persiapan berjalan dengan baik, antaranya:

  • Pemberian cuti tambahan Aidilfitri
  • Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan dari 14 hingga 28 Mac 2026
  • Bayaran awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 pada 10 Mac 2026 kepada 5.2 juta penerima melibatkan RM1.3 bilion
  • Penyaluran Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam, pesara dan veteran, termasuk sumbangan khas kepada lebih 70,000 imam, bilal, tok siak, noja, marbut serta guru KAFA dan takmir
  • Peluasan subsidi tiket penerbangan FLYsiswa bernilai RM400 kepada pelbagai institusi pengajian tinggi
  • Pelaksanaan hampir 1,900 Program Jualan Rahmah MADANI sepanjang Ramadan bagi memastikan bekalan mencukupi dan harga berpatutan
  • Larangan penjualan minyak masak paket bersubsidi kepada warga asing bagi memastikan subsidi hanya dinikmati rakyat Malaysia

Pada masa sama, Perdana Menteri mengulangi seruan agar rakyat terus berbelanja secara berhemah sepanjang meraikan Syawal.

Kata beliau, dalam keadaan ekonomi dunia yang masih tidak menentu, semua pihak perlu mengurus kewangan secara berdisiplin sebagai persediaan menghadapi ketidaktentuan pada masa hadapan.

“Mewakili seluruh jentera Kerajaan MADANI, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh rakyat Malaysia. Semoga Aidilfitri disambut dalam suasana aman dan penuh kesyukuran bersama keluarga serta insan tersayang,” kata Perdana Menteri.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img