Pemandu ambulans didakwa rompak bersenjata tiga premis

SEORANG pemandu ambulans sebuah klinik kesihatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Temerloh hari ini atas tiga pertuduhan melakukan rompakan bersenjata di tiga premis perniagaan di daerah ini, awal bulan ini.

Tertuduh, Mohamad Syahrizan Nazar, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pindaan dibacakan di hadapan Hakim Jamaluddin Mat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merompak wang tunai RM2,140 selain dua kotak rokok, tiga botol minuman berperisa, satu peket snek berperisa dan satu beg beli-belah bernilai RM50.70.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tiga premis berasingan menggunakan senjata iaitu sebilah pisau lipat dan sebilah pedang.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 1 Mac, 4 Mac dan 7 Mac lalu di kedai serbaneka 24 jam di Jalan Sri Chengal dan Jalan Bendera Mahkota, Temerloh serta sebuah stesen minyak di Desa Murni, Kerdau.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 14 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Zaffar dan Adriana Azrin yang memohon mahkamah tidak membenarkan jaminan kerana tertuduh dipercayai berpotensi menjadi ancaman kepada pengusaha premis perniagaan lain di daerah ini.

Bagaimanapun, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Khairul Anuar Abu Hassan Ashaari yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan jaminan.

Menurutnya, anak guamnya bekerja sebagai pemandu ambulans di sebuah klinik kesihatan di daerah ini dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.

Mahkamah menetapkan 22 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes, lantikan peguam dan serahan dokumen.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img